Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong

KUALA LUMPUR –  Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dilihat masih tidak jemu bertegang leher berhubung pelbagai kontroversi menyelubungi pembinaan terowong dasar laut di negeri itu.

Selepas gagal memutar belit fakta berhubung kewujudan agenda peribadi dalam projek mega itu, Guan Eng kini seolah cuba mengalih perhatian ramai dengan mendakwa Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai mengenakan tekanan ke atas konglomerat China Railway Construction Corporation Ltd (CRCC) untuk ‘mengundurkan’ diri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, tuduhan ke atas Tiong Lai yang juga Presiden MCA jelas tidak masuk akal.

Malah lebih dari itu ia memperlihatkan dengan jelas kegagalan DAP menangani isu secara matang, dakwanya.

Menurut beliau, MCA dimaklumkan oleh sumber dari sektor kejuruteraan baru-baru ini bahawa China Railway Construction Corporation Ltd (CRCC) diberi pemilikan kontrak berjumlah AS$22 juta (anggaran RM69 juta ketika itu) bagi mengambil alih kerja-kerja mereka bentuk tiga laluan dan terowong.

Ka Siong yang juga Timbalan Presiden MCA berkata,  maklumat berkenaan diakui benar oleh Exco kerajaan negeri, Chow Kon Yeow baru-baru ini.

Menurut beliau, pendedahan terbabit dianggap mengejutkan kerana skop kerja itu adalah aspek terbesar dari keseluruhan nilai projek berjumlah RM305 juta yang dibauar kerajaan negeri kepada syarikat Tunnel SPV.

“Berdasarkan perangkaan yang diedarkan exco kerajaan negeri, Lim Hock Seng, rekaan komponen projek terbabit mencakupi 3 laluan dan sebuah terowong mencatatkan jumlah RM253.8 juta, masing-masing RM17.5 untuk kesemua laluan serta RM76.3 juta untuk terowong dari keseluruhan RM305 juta itu.

“Memandangkan CRCC hanya dibayar RM69 juta untuk kesemua rekaan itu, apakah sebenarnya skop tugasan 34 perunding lagi untuk diberi bayaran seuingga RM236 juta?” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ka Siong berkata, adalah lebih membimbangkan apabila diberitahu bahawa CRCC tidak berupaya meneruskan projek mega itu kerana hanya menerima lima peratus (sekitar RM3 juta) bayaran, berbanding RM69 juta mengikut nilai kontrak sejak menerima projek terbabit lika tahun lalu.

“Bagaimana mereka mahu meneruskan kerja jika tidak menerima bayaran seperi dijanjikan?

“Ini satu perkara serius yang mendatangkan kerisauan besar buat kita kerana kontraktor utama diberikan bayaran begitu kecil sepanjang lima tahun ini. Jika semua dakwaan ini adalah benar, tidakah ia akan memberi impak negatif ke atas kedudukan kewangan SPV Terowong,” tegasnya.

Kesemua maklumat itu jelas beliau menimbulkan persoalan ke atas keengganan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam menyahut cabaran diberikan sebelum ini untuk membentangan segala bukti hayaran diterima CRCC sejak lima tahun lalu.

“Apakah tindakan Guan Eng berdiam diri selama ini didorong oleh ketakutan beliau kerana segalanya sudah terbongkar? Apakah ini juga faktor pengunduran BUCG secara senyap dari projek berkenaan? “ katanya.

Ka Siong turut mempersoalkan pengunduran syarikat Kumpulan Mudajaya Bhd. dari projek terbabit walaupun menerima kontrak bernilai RM810 juta bagi pembinaan salah satu daripada tiga laluan.

“Dalam notis pengunduran rasmi kepada Bursa Malaysia, Mudajaya Bhd memetik kewujudan beberapa aspek tidak jelas sebagai punca mereka menarik diri. Apakah ini sebenarnya yang merekamaksudkan,” katanya.- MalaysiaGazette

Guan Eng jangan berselindung disebalik sehelai lalang