Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin.

PORT DICKSON – Pihak pengurusan sukan taekwando, angkat berat dan sepak takraw bersetuju untuk akur dengan syarat-syarat yang ditetapkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS), bagi memastikan sukan-sukan itu dapat terus dipertandingkan di Sukan Malaysia (Sukma) Perak, September ini.

Ketiga-tiga sukan itu sebelum ini digugurkan daripada sukan teras dan tidak dibenarkan untuk dipertandingkan di Sukma, namun Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukma pada Khamis lepas memutuskan sepak takraw, taekwondo dan angkat berat dipertandingkan semula, dengan dikenakan beberapa syarat.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata beliau berharap keputusan itu menjadi permulaan kepada usaha berterusan untuk meningkatkan lagi pengurusan serta prestasi sukan berkenaan.

“Kesan daripada pengumuman awal sukan-sukan ini digugurkan daripada Sukma menyebabkan mereka bangun daripada rehat yang lama dan tampil dengan beberapa perubahan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Fit Malaysia 2018 Peringkat Negeri Sembilan di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Modal Insan, Belia dan Sukan negeri Datuk Zaifulbahri Idris dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Pinang, Datuk Tun Hairuddin Abu Bakar.

Khairy berkata bagaimanapun, ketiga-tiga sukan ini tetap digugurkan daripada sukan teras, yang bermaksud peruntukan bagi program pelapis dan sebagainya telah dihentikan.

“Sukan-sukan ini mestilah membuktikan mereka dapat meningkatkan prestasi sukan dan pengurusan badan-badan sukan kebangsaan sebelum dipertimbangkan untuk dimasukkan semula sebagai sukan teras,” katanya.

Sementara itu, Khairy berkata lebih 15,000 orang hadir memeriahkan Fit Malaysia kali ini, yang menampilkan aktiviti-aktiviti kecergasan seperti larian 5 kilometer (km) dan 10km, berbasikal 10km dan 30km serta senamrobik.

“Ini menujukkan bahawa sambutan untuk program-program Fit Malaysia dan usaha kita menjadikan Malaysia negara bersukan semakin diterima dan disokong oleh masyarakat.

“Fit Malaysia ini lebih berbentuk kepada mereka yang mungkin tak biasa bersukan untuk kita menggalakkan mereka melaksanakan langkah pertama ke arah menjadi lebih sihat,” katanya. – MalaysiaGazette