KWSP
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Shahril Ridza Ridzuan foto IQBAL BASRI.

KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menambah RM100 bilion lagi saiz dana simpanan syariah menjadikannya RM200 bilion pada tahun ini bagi memberi peluang kepada lebih ramai pencarum untuk memiliki simpanan persaraan patuh syariah.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, pengurus dana persaraan itu menjangkakan pertukaran kepada simpanan syariah meningkat pada tahun ini selepas para pencarum menyaksikan pulangan dividen kepada dana baharu itu hampir setaraf dengan dana konvensional.

“Jumlah nilai caruman di dalam simpanan syariah adalah selari dengan unjuran kami. Kami menyediakan dana bersaiz RM100 bilion pada 2017 kerana sekiranya unjuran kami tersilap, kami masih mempunyai penampan jika ada yang mahu bertukar kepada simpanan syariah.

“Kami selalu menjangkakan apa yang akan berlaku. Pada 2016 apabila kami mula melancarkan dana syariah, terdapat RM500 juta yang telah melabur kerana mereka golongan sangat menantikan produk patuh syariah daripada kami dan tidak kisah mengenai berapa jumlah dividen yang mereka akan dapat. Mereka cuma mahu produk patuh syariah sahaja.

“Jadi apabila kami mengumumkan dividen pertama pada Sabtu lalu, kami menjangkakan golongan atas pagar yang mahukan produk patuh syariah tetapi dalam masa mengharapkan dividen yang baik akan mula datang ke KWSP dan orang ramai sebenarnya mula datang pada hari ini,” katanya semasa taklimat media Dividen KWSP 2017 di sini hari ini.

Tambah Shahril Ridza, KWSP tidak akan melakukan apa-apa promosi untuk menggalakkan lebih banyak caruman ke dalam dana syariah kerana mahu pelabur membuat keputusan sendiri.

“Ini adalah pilihan peribadi. Kami tidak akan melakukan apa-apa, kami cuma menyediakan pilihan kepada pencarum.

“Jika anda selesa dengan simpanan konvensional, terserah kepada anda. Jika anda mahukan simpanan patuh syariah, kami sudah ada dana syariah,” tegasnya.

Ketika ini, kira-kira 700,000 pencarum dengan nilai RM68 bilion telah memiliki simpanan dana syariah berbanding kira-kira 17 juta orang keseluruhan pencarum dengan nilai keseluruhan caruman sebanyak RM768.5 bilion.

Menyentuh mengenai prestasi dana syariah yang sedikit rendah berbanding simpanan konvensional, Shahril Ridza menjelaskan, akaun konvensional mempunyai akses kepada saham-saham perbankan berbanding syariah.

“Secara asasnya, ini adalah faktor pasaran secara keseluruhan di mana ia tidak menyediakan banyak pendedahan kepada instrumen pelaburan ekuiti syariah.

“Lihat di Malaysia contohnya, kita mempunyai bank bank-bank besar yang tersenarai di Bursa Malaysia tetapi kita hanya mempunyai sebuah sahaja bank Islam yang tersenarai iaitu Bank Islam dan Malaysia Building Society Bhd. (MBSB) pada masa akan datang yang akan bertukar kepada bank Islam.

“Jadi skop pendedahan untuk dana syariah amat terhad.

“Semasa negara menyaksikan pemulihan kukuh sektor kewangan tahun lepas, dana konvensional mendapat keuntungan daripada situ tetapi ini tidak berlaku kepada simpanan syariah.

“Jadi perbandingan yang terbaik adalah melihat kepada dana-dana syariah lain yang ada di dalam pasaran dan tidak mempunyai pendedahan kepada sektor perbankan,” katanya.

KWSP pada Sabtu lalu buat pertama kalinya mengumumkan dua pembayaran dividen kepada ahlinya yang mana pencarum kepada akaun konvensional menerima 6.59 peratus manakala pencarum dana syariah mendapat dividen sebanyak 6.54 peratus.

Ahli-ahli yang berminat untuk mendaftar akaun syariah boleh berbuat demikian sehingga 24 Disember 2018. – MalaysiaGazette