Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil (tengah) bersama Pengerusi Barisan Nasional Kepong, Jimmy Tan Eng Huat (empat kiri) serta yang lain melakukan Yee Sang pada Majlis Sumbangan Prihatin Sempena Sambutan Tahun Baru Cina 2018 di Wisma MCA Kepong, Jinjang. foto FAREEZ FADZIL, 12 FEBRUARI 2018.

KUALA LUMPUR –  Sebahagian besar pembangunan di Kepong hingga membolehkan kawasan itu bertukar wajah sebagai bandar metropolitan adalah hasil usaha Barisan Nasional (BN) walaupun pada dasarnya ia ditadbir oleh DAP.

Ketua Wanita BN, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata, usaha DAP memajukan kawasan itu boleh dibilang dengan jari sahaja walaupun sekian lama Kepong berada di bawah pengaruh parti tersebut.

DAP jelas beliau, hanya bijak menyebar propaganda tetapi gagal menterjemahkan manifesto mereka kepada realiti walaupun sudah diberi kepercayaan oleh rakyat sebagai pemimpin membela nasib mereka.

“Saya tahu ramai yang akan mengakui dan membenarkan kenyataan bahawa kemajuan dinikmati penduduk Kepong adalah hasil usaha BN. Dari sebuah kawasan yang tidak ada-apa di pinggir bandar, Kepong begitu pantas membangun bersama barisan hartanah yang menjadi rebutan termasuk dalam kalangan penduduk luar.

“Apa yang mereka (DAP) tahu hanya berfikir untuk menggulingkan Ahli Parlimen Kepong ketika ini yang juga penyandang kerusi itu, Yang Berhormat Dr. Tan Seng Giaw,” katanya kepada media selepas majlis penyampaian sumbangan Tahun Baru Cina anjuran Wanita BN Kepong di sini hari ini.

Shahrizat yang juga Ketua Pergerakan Wanita UMNO berkata, komuniti di Kepong seharusnya lebih bijak menilai kebenaran dan memilih pemimpin yang jujur berkhidmat bukan hanya bersandarkan kepada perkauman semata-mata.

Mengulas lanjut,  beliau berkata, DAP bijak memanipulasi isu perkauman untuk memancing penduduk sekaligus mengaburi mata mereka dengan pelbagai janj-janji kosong.

“Saya sempat bertemu dengan pengundi di parlimen ini yang meluahkan kekecewaan mereka kerana faedah dijanjikan DAP hanya sekadar ‘menanam tebu di pinggir bibir’. Mereka terpedaya dan menyesali kesilapan dilakukan pada pilihan raya lepas.

“Saya harap kali ini penyesalan itu ditebus kembali dengan mengundi BN bagi memastikan kelestarian Parlimen Kepong dipelihara dengan baik manakala kebajikan mereka kekal menjadi keutamaan,” katanya.

Pada majlis berkenaan, kira-kira 300 warga emas, orang kelainan upaya dan miskin menerima sumbangan masing-masing terdiri daripada hamper dan sejumlah wang tunai.- MalaysiaGazette