Shahril Ridza Ridzuan

KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memang mengadakan rundingan untuk mengambil alih syarikat insurans berpangkalan di Singapura, Great Eastern Holdings Ltd, demikian menurut Ketua Pegawai Eksekutif dana pengurusan wang persaraan itu, Datuk Shahril Ridza Ridzuan.

Menurut Shahril, KWSP amat berminat dengan sektor insurans tempatan kerana masih ramai rakyat di negara ini yang tidak mempunyai perlindungan insurans lagi.

“Industri ini masih belum matang dan mempunyai potensi yang besar untuk berkembang.

“Kami amat berminat dengan sektor ini dan memang sedang mengadakan rundingan.

“Bagaimanapun, saya tidak boleh mendedahkan butiran lanjut kerana terikat dengan perjanjian untuk menjaga kerahsiaan.

“Pengumuman akan dibuat apabila tiba masanya nanti,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan taklimat media Dividen 2017 di ibupejabat KWSP hari ini.

Pada 5 Februari lalu, terdapat laporan yang mengatakan Great Eastern sedang mengadakan rundingan eksklusif dengan KWSP untuk menjual pegangan minoriti di dalam anak syarikatnya di negara ini.

Urusniaga tersebut dikatakan bernilai sehingga AS$1 bilion.

Rundingan dengan KWSP itu merupakan sebahagian daripada strategi Great Eastern untuk mengikuti mandat Bank Negara yang mahukan syarikat insurans yang beroperasi di Malaysia dimiliki oleh syarikat tempatan.

Tarikh akhir bagi peraturan tersebut telah ditetapkan pada Jun.

Ketika ditanya apakah KWSP mempertimbangkan untuk menyenaraikan syarikat insuransnya, Shahril berkata, ia bergantung kepada pemilik syarikat tersebut.

“Dari perspektif kami, kami akan melihat kepada pernilaian.

“Jika kami mendapat pernilaian yang bagus dan sesuai untuk jangka masa panjang serta (memberi pulangan) kepada rakan perniagaan kami, pastinya kami sedia melakukannya,” katanya.

Anak syarikat Great Eastern di Malaysia, Great Eastern Life Assurance (M) Bhd., syarikat insurans tertua di negara ini mempunyai lebih tiga juta polisi dan rangkaian ejen seramai 17,000 orang pada 2016. – MalaysiaGazette