Salleh Said Keruak

KUALA LUMPUR – Pembayaran dividen oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah meningkat secara beransur-ansur sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Pada tahun 2014 dan 2015, KWSP mengisytiharkan dividen yang lebih tinggi berbanding tahun 2013, yang juga merupakan tahun pilihan raya ketika itu.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata, pembayaran dividen KSWP pada tahun 2017 tidak ada kaitan dengan pilihan raya seperti yang dijadikan modal oleh parti pembangkang yang mengaitkannya sebagai dividen pilihan raya.

“Sekiranya KWSP mengumumkan dividen yang sangat rendah pada tahun ini, mereka (pembangkan) akan mengatakan ini adalah bukti bahawa ekonomi sedang dalam keadaan buruk dan negara ini akan bankrap.

“Mantra ‘Malaysia akan bangkrap” telah dicanangkan selama bertahun-tahun tetapi apa yang berlaku adalah pertumbuhan ekonomi bertambah kukuh. Mengikut laporan ekonomi negara-negara lain, Malaysia dinilai antara yang terbaik di rantau ini,” katanya menerusi blognya.

Katanya, hanya penyokong pakatan pembangkang yang merasakan Malaysia akan muflis sedangkan ahli ekonomi asing tidak fikir begitu.

Malah mereka telah meramalkan pertumbuhan yang tinggi untuk Malaysia.

Rakyat Malaysia yang melancong ke luar negara untuk bercuti juga meningkat setiap tahun berdasarkan statistik yang dikumpulkan.

Lebih daripada 26 juta pelancong asing juga datang ke Malaysia pada 2016 dan ini dijangka meningkat kepada 30 juta menjelang tahun 2020.

Ini bukan petanda negara dalam masalah, katanya. – MalaysiaGazette