KUALA LUMPUR – Dutch Lady Malaysia meminta orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat palsu berkenaan produk susu yang dikatakan tiruan di laman sosial bagi mengelakkan kekeliruan.

Menerusi kenyataan media, Pengarah Urusan syarikat produk susu itu menyarankan agar pengguna merujuk kepada pusat perkhidmatan terlebih dahulu untuk sebarang maklumat lanjut sebelum bertindak memviralkannya.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat atau menyebarkan maklumat palsu yang boleh menimbulkan keresahan di kalangan orang awam. Kami menggalakkan pengguna untuk merujuk kepada pusat perkhidmatan pelanggan kami sebelum memapar atau berkongsi sebarang maklumat di media sosial,” kata Dutch Lady menerusi kenyataan media.

Kenyataan itu dipercayai sebagai respon terhadap dakwaan susu tiruan yang mengakibatkan bayi mengalami cirit-birit dan muntah-muntah sebaik minum susu daripada pek berlabel ‘102’.

Dutch Lady Malaysia turut memaklumkan telah menghantar sampel produk tersebut ke makmal mereka dan makmal luar yang berstatus bebas untuk ujian.

Syarikat itu turut bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) demi memastikan keselamatan produk mereka.

“Sejurus selepas menerima aduan, Dutch Lady melancarkan tindakan segera untuk menghubungi pelanggan dan menjalankan semakan terperinci. Selaras dengan prosedur syarikat, sampel produk telah diperoleh daripada pelanggan dan dihantar ke makmal dalaman dan juga pusat pengujian bebas yang diiktiraf untuk proses ujian.

“Dutch Lady juga telah bertemu dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan akan bekerjasama dengan rapat dalam usaha mengatasi perkara ini. Keputusan penuh akan diumumkan selepas proses siasatan diselesaikan,” tambah mereka.

Untuk maklumat orang ramai produk susu bayi dan kanak-kanak Dutch Lady yang asli hanya daripada kod kelompok yang bermula dengan 100, 101, 102 dan 103, manakala tarikh luput yang dipaparkan yang berakhir dengan (R), (W1), (W2), dan (W3).

Selain itu variasi pembungkusan mempunyai perkataan ‘Calcium’ dan ‘Kalsium’ dengan logo FrieslandCampina bersama dan tanpa kotak putih. – MalaysiaGazette