Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa menyampaikan ucapan pada Majlis Perjumpaan Ketua Setiausaha Negara Bersama Graduan Cemerlang Tajaan JPA di MAEPS, Serdang. foto FAREEZ FADZIL, 13 FEBRUARI 2018

SERDANG –  Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) buat pertama kali akan mengambil sekumpulan graduan cemerlang untuk mengikuti kursus kadet Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD).

Pengambilan itu akan dilaksanakan dalam tiga sesi dengan pengambilan pertama dilakukan pada Mac ini.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa berkata, langkah tersebut bertujuan membuka peluang kepada graduan tempatan bekerja dalam perkhidmatan awam di negara ini.

“Kita akan melaksanakan pengambilan kadet PTD dalam tiga sesi pengambilan iaitu 300 orang untuk sesi pengambilan pertama dengan lebih 100,000 permohonan diterima JPA.

“Kumpulan kedua dalam kalangan graduan cemerlang ini yang terdiri daripada 1,200 orang tetapi terhad untuk pengambilan 200 orang sahaja manakala kumpulan ketiga akan terdiri daripada pegawai lain-lain skim yang sedang berkhidmat dalam kerajaan diberi peluang untuk memasuki PTD,” katanya.

Beliau menyatakan demikian pada majlis Perjumpaan Graduan Cemerlang Bersama Ketua Setiausaha Negara di di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) di sini hari ini.

Hadir pada majlis Ketua Pengarah JPA, Tan Sri Zainal Rahim Seman.

Tambah Ali Hamsa, sesi perjumpaan bersama 1,200 orang pelajar cemerlang itu juga menyaksikan pembukaan kaunter pameran lebih 60 agensi kementerian dan kerajaan yang menerangkan mengenai peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor seperti kejuruteraan, perubatan, undang-undang selain perhidmatan awam.

Ditanya mengenai tempoh masa latihan yang akan dijalani mereka, Ali berkata, tiga-tiga kumpulan graduan itu akan menjalani latihan secara berasingan.

Katanya, graduan cemerlang dan pemohon daripada skim lain yang masih berkhidmat dalam kerajaan akan menjalani proses temuduga kemasukan pada Mac ini .

Malah jelas beliau, graduan kelas pertama dan cemerlang pula akan menyertai kemasukan pada bulan Julai menerusi sistem baharu ini.

“Sistem ini dilaksanakan negara jiran, Singapura yang memberi keutamaan menyerap graduan cemerlang tajaan kerajaan itu ke dalam kerajaan sebelum membuka penyertaan kepada yang lain di republik itu,” ujarnya. – MalaysiaGazette