Nota yang ditulis kepada guru tersebut dan ibu bapanya dan kemudian cuba menggantung dirinya dengan selendang.

PULAU PINANG – Polis negeri ini akan mengemukakan permohonan kepada Mahkamah Majistret Georgetown di sini untuk mengadakan inkues bagi kes seorang pelajar perempuan membunuh diri selepas dituduh mencuri telefon bimbit milik gurunya.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk A. Thaiveegan berkata, permohonan itu akan dikemukakan hari ini atau selewat-lewatnya esok.

Menurut beliau, permohonan inkues itu merupakan jalan terbaik kepada semua pihak yang terlibat dalam kejadian tersebut untuk mendapatkan maklumat seterusnya menyelesaikan pelbagai isu berbangkit.

Tambah beliau, pihaknya akan merujuk kertas siasatan kes itu kepada Majistret untuk mengadakan inkues selepas mendapat persetujuan Pejabat Peguam Negara.

“Setiap hari ada perkara baharu dan setiap hari ada orang cakap begitu dan begini. Situasi ini menyukarkan polis untuk melengkapkan siasatan kes ini.

“Jadi, apabila inkues ini dipersetujui kelak, kita akan tahu apa sebenarnya yang berlaku,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Ops Selamat 12 di Plaza Tol Juru arah utara, di sini hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Thaiveegan memberitahu, setakat ini seramai 30 saksi terdiri daripada ibu bapa mangsa, rakan, guru dan pelajar sekolah berkenaan telah dipanggil untuk memberi keterangan.

Dalam masa sama, beliau menggesa mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berhubung kes itu tampil mealporkannya kepada pihak polis untuk membantu siasatan.

“Kepada mana-mana pihak yang ada maklumat berkaitan, datanglah bagi kenyataan kepada pihak polis.

“Kita harus membantu, bukannya membantutkan lagi tugas dan siasatan polis,” katanya.

Kes kematian pelajar perempuan berusia 14 tahun itu kini menjadi semakin rumit selepas pelbagai pihak membuat kenyataan termasuk kononnya telefon bimbit tersebut sudah ditemui selepas tercicir di sebuah kedai makan.

Turut dilaporkan adalah rakam kamera litar tertutup (CCTV) yang kononnya menunjukkan pelajar berkenaan mengambil telefon bimbit berkenaan seperti dilaporkan media tertentu.

Bagaimanapun, polis menafikan segala dakwaan tersebut dan menjelaskan siasatan lanjut masih dijalankan sekali gus memberi amaran supaya mana-mana pihak tidak membuat kenyataan tidak berasas berhubung kes berkenaan.

Pada 1 Februari lalu, pelajar perempuan berkenaan M. Vasanthapiriya, meninggal dunia selepas seminggu dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Seberang Jaya (HSJ) selepas cuba membunuh diri dengan menggantung diri menggunakan kain sari di rumahnya.

Mangsa dikatakan mengambil tindakan itu selepas tertekan dituduh mencuri telefon bimbit milik gurunya di sebuah sekolah di Nibong Tebal di sini.