Home Nasional KR1M 2.0 dapat sambutan pengusaha kedai runcit, akan diperluas – Hamzah

KR1M 2.0 dapat sambutan pengusaha kedai runcit, akan diperluas – Hamzah

Hamzah Zainudin

KUALA LUMPUR – Sambutan positif diterima daripada pengusaha kedai runcit yang berminat untuk membuka Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) 2.0 sejak dilancar pada 4 Februari lalu, kata Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan itu berkata, KR1M 2.0 akan diperluaskan ke kedai-kedai runcit seluruh negara namun pelaksanaan tidak boleh terburu-buru dan memerlukan kajian teliti terlebih dahulu.

“Kita perlu melihat daripada pelbagai sudut termasuk melibatkan kos logistik dan pusat pengedaran bagi memastikan kedai-kedai runcit persendirian itu dapat menawarkan produk KR1M pada harga kompetitif.

“Tunas Manja Group (TMG) juga telah menerima kira-kira 20 panggilan daripada pengusaha kedai runcit yang berminat menyertai KR1M 2.0 selepas dilancarkan 4 Februari lalu, namun pada masa ini kami masih dalam proses perbincangan bagi melaksanakan fasa ketiga ini,” katanya semasa sesi taklimat mengenai KR1M 2.0 hari ini.

TMG dan kedai serbaneka menerusi KK Super Mart merupakan dua pasaraya yang dipilih dalam program KR1M 2.0 yang dilancarkan baru-baru ini.

Menurut Hamzah, sejak ia dirasmikan jualan TMG juga meningkat kira-kira tujuh peratus apabila menerima sambutan menggalakkan daripada orang ramai dan ia menunjukkan keberkesanan model perniagaan yang ditawarkan menerusi KR1M 2.0.

Dalam pada itu, Hamzah menjangkakan unit simpanan stok (SKU) juga bakal ditambah lebih banyak berbanding hanya 50 produk sahaja.

“Kita sasarkan untuk menambah pemasaran unit simpanan stok (SKU) daripada 50 kepada 100 produk, menjelang hujung April ini bagi menambah pilihan barangan kepada pengguna.

“Setakat ini, kita ada penambahan tujuh SKU, merangkumi pilihan produk beras dan barangan keperluan harian,” katanya lagi.

KR1M 2.0 merupakan penjenamaan semula daripada program KR1M yang diperkenalkan melalui inisiatif pihak swasta yang dibantu kerajaan sejak tahun 2011.

Dalam KR1M 2.0 kerajaan melalui KPDNKK memperkenalkan model baharu yang lebih terbuka, berdaya saing dan memberi peluang lebih ramai peniaga runcit menyertai KR1M 2.0

Model baharunya berkonsepkan kepada tiga kategori model perniagaan iaitu kerjasama strategik antara kerajaan dengan pengilang, pengeluar dan pengedar; operasi perniagaan kendalian pemilik serta penjenamaan bersama. – MalaysiaGazette