KUALA LUMPUR – Lim Guan Eng dinasihatkan agar berhenti daripada menjadi ‘burung kakak tua’ apabila mengitar semula pelbagai tuduhan terhadapnya berhubung projek terowong dasar laut.

Sebaliknya, Ketua Menteri Pulau Pinang itu perlu mengemukakan penjelasan berhubung dakwaan-dakwaan tersebut tanpa perlu berselindung, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Malah, tuduhan bahawa Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, ingin mensabotaj dengan mendapatkan beberapa butiran daripada China Railway Contruction Corporation International (CRCC) mengenai projek terowong dasar laut itu merupakan cubaan untuk mengelirukan rakyat.

“Jika soalan demi kepentingan awam seperti ini dikatakan sabotaj, saya rasa ramai ahli DAP ketika ini cuba berbuat demikian (sabotaj) terhadap ekonomi dan pembangunan negara menerusi sesi soal jawab di Parlimen serta pelbagai saluran lain.

“Tiong Lai hanya menjalankan tugasnya mencakupi bidang logistik dan kemudahan pengangkutan supaya kontroversi melanda CRCC angkara Guan Eng, tidak menjejaskan reputasi syarikat berkenaan dalam menyelesaikan pembinaan projek lain yang dilaksana menerusi kerjasama dengan kerajaan.

“Tindakan sama dibuat bagi memastikan orang ramai tidak menuding jari kepada CRCC, susulan kelewatan menjangkau lima tahun yang berlaku terhadap projek terowong dasar laut Pulau Pinang.

“Kenyataan dangkal Guan Eng sekadar mencerminkan keangkuhannya selepas memperlekehkan tanggungjawab memikul amanah kepentingan awam dan ketelusan membabitkan projek kerajaan negeri,” katanya yang juga Timbalan Presiden MCA menerusi kenyataan di Facebook.

Ka Siong berkata, Setiausaha Agung DAP itu mempunyai daya pemikiran seakan burung unta dan terperangkap dalam dunianya sendiri kerana beranggapan masyarakat tidak berupaya menyedari masalah melanda Pulau Mutiara ketika ini.

Katanya, MCA tidak akan ‘berpeluk tubuh’ terhadap pelbagai isu membabitkan Guan Eng kerana ia berkaitan kepentingan awam, justeru perjuangan parti terbesar masyarakat Cina itu dalam ‘memburu’ kebenaran akan diteruskan. – MalaysiaGazette