LIM GUAN ENG

PULAU PINANG – Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mempersoal tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memanggil Ketua Menteri II, Dr. P. Ramasamy untuk memberi keterangan berhubung siasatan kes skandal projek terowong dasar laut dan tiga lebuh raya.

Menurut Guan Eng, portfolio Ramasamy iaitu sebagai Exco Perancangan Ekonomi Negeri, Pendidikan dan Sumber Manusia Sains, Teknologi dan Inovasi negeri tidak berkait dengan projek mega bernilai lebih RM6 bilion tersebut.

“Kita faham jika Exco Lim Hock Seng dipanggil SPRM semalam kerana projek itu ada kaitan dengan portfolionya, tetapi apa kaitannya Ramasamy dengan projek ini?” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Ramasamy kira-kira pukul 8.45 pagi tadi hadir di ibu pejabat SPRM di Jalan Sultan Ahmad Shah di sini bersama peguamnya dipercayai bagi membantu siasatan SPRM berhubung projek terowong tersebut.

Ramasamy merupakan Exco Kerajaan DAP Pulau Pinang kedua selepas Hock Seng yang juga Exco Kerja Raya, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri semalam dipanggil memberi keterangan hampir 12 jam kepada SPRM.

Sementara itu, Guan Eng berkata, beliau yakin barisan Exco lain juga akan dipanggil SPRM selepas ini meskipun tidak terlibat dengan projek terowong tersebut sama seperti yang dihadapi Ramasamy.

Dalam masa sama, beliau juga bersedia untuk dipanggil SPRM pada bila-bila masa namun mengakui belum menerima sebarang arahan sehingga kini.

Projek kontroversi terowong bawah laut itu kini sedang disiasat SPRM berikutan wujud laporan berlakunya salah guna kuasa dan penyelewengan membabitkan kos kajian kebolehlaksanaan projek tersebut.

Setakat ini, SPRM sudah menahan empat individu bagi membantu siasatan kes itu dengan penahahan terbaharu membabitkan seorang pengerusi syarikat perunding kejuruteraan bergelar Datuk Seri yang terlibat dalam kajian projek tersebut.

Suspek berusia 62 tahun itu dipercayai terlibat dalam penyediaan dokumen tuntutan palsu bagi kajian kebolehlaksanaan tiga jalan utama dan terowong terbabit bernilai kira-kira RM305 juta kepada Kerajaan DAP Pulau Pinang.