Abdul Rahman Dahlan

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan mendakwa wujud percanggahan dalam langkah pentadbiran Menteri Besar Selangor yang menyerahkan tanah peneroka Ijok kepada dua syarikat yang ada kaitan dengan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.

Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN)  mempertikaikan tindakan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang menyerahkan semula tanah tersebut walhal kerajaan Selangor ketika dibawah pentadbiran Tan Sri Khalid Ibrahim sudah merampas semula tanah daripada dua syarikat milik Khairuddin, iaitu Mujur Zaman Sdn. Bhd. dan LBCN Development Sdn. Bhd.

“Apa justifikasi Azmin menyerahkan tanah bernilai RM1.18 bilion kepada Mujur Zaman dan LBCN Development walaupun keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan memihak kepada keputusan Khalid dan kerajaan negeri untuk mengambil alih semula tanah tersebut?” soal Rahman dalam satu kenyataan hari ini.

Untuk rekod, Khairudin merupakan salah seorang pengarah eksekutif syarikat Mujur Zaman dan LBCN Development.

Semasa Pakatan Rakyat memenangi Selangor pada tahun 2008, Khalid telah mengambil alih semula tanah kerajaan negeri yang dimiliki oleh kedua-dua syarikat itu kerana pelanggaran syarat dan terma-terma perjanjian.

Mujur Zaman dan LBCN Development kemudiannya menyaman kerajaan negeri dan Menteri Besar Selangor di mahkamah tinggi untuk mendapatkan balik tanah-tanah tersebut.

Keputusan mahkamah tinggi pada 22hb Oktober 2013 memihak kepada kerajaan Selangor dan selepas itu Mujur Zaman dan LBCN Development merayu ke mahkamah rayuan.

Keputusan mahkamah rayuan pada 17 Februari 2014 juga memihak kepada kerajaan Selangor.

Bagaimanapun, selepas Langkah Kajang dilaksanakan, Khalid disingkir dan penggantinya, Azmin.

Menurut Abdul Rahman, sebelum Mahkamah Persekutuan mendengar rayuan kes yang sama, Mujur Zaman dan LBCN Development dan beberapa syarikat berkaitan pada 22 September 2015 telah membuat perjanjian dengan sebuah syarikat awam untuk menjual 2,198.4 ekar dengan harga RM1,181,335,536.65 dengan syarat syarikat-syarikat tersebut mendapat kelulusan kerajaan negeri Selangor.

Selang beberapa bulan selepas itu, Azmin pada 17 Mei 2016 telah memfailkan satu perjanjian penyelesaian kepada mahkamah persekutuan bahawa kerajaan Selangor dan Mujur Zaman Sdn LBCN Development telah bersetuju untuk membatalkan kes itu.

Azmin seterusnya membuat keputusan untuk menyerahkan semula tanah-tanah tersebut kepada Mujur Zaman dan LBCN Development.

“Kenapa Azmin tidak menunggu kes ini dibicarakan di mahkamah persekutuan memandangkan Kerajaan Selangor telah menang di mahkamah tinggi dan mahkamah rayuan sebelum itu?

“Kenapa Azmin tergesa-gesa membuat keputusan yang nyata merugikan kerajaan dan rakyat Selangor?” soal Rahman lagi.

Beliau juga mengkritik Azmin yang didakwanya tidak menjawab dengan jelas berhubung isu tanah tersebut walaupun beberapa kali dibangkitkan dalam Dewan Undangan Negeri dan pihak NGO.

“Saya ingin mengingatkan Azmin bahawa isu ini telah dibangkitkan beberapa kali oleh pihak NGO dan rakyat negeri Selangor yang prihatin termasuk soalan yang ditanya di Dewan Undangan Negeri Selangor oleh beberapa wakil rakyat.

“Namun, Azmin tidak menjawab persoalan ini secara jelas,” katanya lagi. – MalaysiaGazette