Mohd Amar Nik Abdullah
Mohd Amar Abdullah

KUALA LUMPUR – Kemampuan blok pembangkang, Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan diragui Pas memandangkan isu perebutan kerusi pun gagal ditangani.

Naib Presidennya, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah mengkritik kredibiliti PH yang disifatkannya tidak mempunyai sikap bertolak-ansur sehingga tidak mampu menyelesaikan isu kerusi sesama mereka.

“Jadi kalau kita sebagai pengundi tentulah kita merasa ragu untuk pilih PH sebagai kerajaan sebab mereka tak boleh tunjukkan sikap tolak ansur dalam menguruskan parti mereka sendiri.

“Jadi, macam mana nak jadi kerajaan yang baik dan berkesan?” soalnya selepas menghadiri mesyuarat Exco hari ini.

Dalam pada itu, Mohd. Amar tidak menolak kemungkinan wujud desakan daripada DAP sehingga Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) terpaksa tunduk dalam isu pembahagian kerusi.

“Boleh jadi (kepimpinan PPBM tunduk kepada DAP) tapi isu yang besar, kalau mereka tak boleh selesai dengan baik, macam mana mereka nak jadi kerajaan yang baik dan berkesan. Itu persoalan yang besar dan rakyat melihat perkara ini dan menilai.

“Parti dalam PH juga mungkin tamak kepada kerusi kerana masing-masing berasa kuat. Masing-masing nak kerusi lebih. Itu yang jadi isu besar pada pandangan saya,” katanya lagi.

Parti komponen PH, PPBM menyatakan rasa tidak puas hati berhubung isu pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri kerana mendapat peruntukan kerusi yang kurang berbanding parti-parti lain. – MalaysiaGazette