Home Utama KM Sarawak nafi beri amaran kepada Petronas

KM Sarawak nafi beri amaran kepada Petronas

KUCHING – Pejabat Ketua Menteri Sarawak hari ini menafikan catatan media sosial yang memetik Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg sebagai memberi ultimatum atau amaran kepada Petronas.

Sambil menyuarakan rasa kesal terhadap berita palsu itu, pejabat Ketua Menteri itu turut menegaskan bahawa Abang Johari tidak pernah berbuat sedemikian.

“Pihak pejabat ini mahu menjelaskan bahawa Ketua Menteri tidak pernah mengeluarkan sebarang ultimatum (amaran) kepada Petronas walaupun adalah menjadi tanggungjawab Petronas untuk mematuhi undang-undang negeri ini sebagaimana syarikat lain yang berminat dengan prospek dan perlombongan di Sarawak.

“Beliau (Ketua Menteri) juga sentiasa menekankan bahawa Sarawak akan bekerjasama dengan Petronas menerusi syarikat minyak yang baru ditubuhkannya, PETROS dalam sektor minyak dan gas di Sarawak berdasarkan ketetapan undang-undang dan Perlembagaan.

“Berita palsu itu adalah sesuatu yang amat dikesali,” kata pejabat itu dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menerusi paparan media sosial bertajuk ‘Ultimatum to Petronas, Get Licence or Get Out,’ (Kata Dua kepada Petronas, Dapatkan Lesen atau Keluar) yang tersebar itu, Ketua Menteri Sarawak didakwa memberi kata dua kepada Petronas bahawa syarikat tersebut perlu mendapatkan lesen di bawah Ordinan Perlombongan Minyak Negeri 1958 untuk beroperasi di Sarawak. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast