RUMAH keluarga bayi perempuan dua bulan yang maut kerana disyaki didera dengan kejam di Kampung Tok Panjang, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

PULAU PINANG – Bayi perempuan berusia dua bulan yang maut kerana disyaki didera dalam kejadian di Kampung Tok Panjang, Bukit Mertajam malam semalam diperlakukan dengan kejam serta tanpa belas kasihan.

Hasil bedah siasat ke atas anak bongsu daripada dua beradik itu di Hospital Seberang Jaya (HSJ) di sini hari ini menunjukkan kesan kecederaan hampir pada keseluruhan badan sama ada luaran mahupun dalaman.

Malah, punca kematian bayi kepada pasangan suami isteri berusia 26 dan 22 tahun itu mendapati adalah disebabkan akibat pendarahan di dalam kepala.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, pemeriksaan luaran pada bayi itu mendapati terdapat banyak kesan lebam, luka dan calar pada bahagian kepala, muka, mulut, badan, kedua-dua lengan atas dan kaki mangsa.

Selain itu, katanya, mangsa juga cedera pada bahagian kemaluan serta terdapat kesan gigitan pada kedua-dua belah tangan.

“Hasil pemeriksaan dalaman turut menunjukkan terdapat banyak kesan pendarahan di bawah kulit kepala mangsa selain pendarahan pada bahagian otak di kedua-dua belah ‘temporal’, ‘pariental’ dan ‘occipital’ dengan organ otak kelihatan membengkak akibat pendarahan tersebut.

“Kesan kecederaan juga terdapat pada ‘frenulum’ bibir atas dengan banyak kesan patah dan penyembuhan pada tulang rusuk kiri dan kanan, kesan patah dan penyembuhan pada lengan kanan serta kesan patah baru pada tulang paha kiri,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Nik Ros Azhan, kecederaan luaran mangsa dipercayai disebabkan oleh objek tumpul dan keras seperti lantai, dinding dan pintu selain perbuatan mencubit dan menghentak.

Selain itu, tambahnya, kecederaan dalaman pula dipercayai akibat kesan hentakan yang kuat hingga berlaku pendarahan di beberapa organ dalaman termasuk otak.

Dalam kejadian malam kelmarin, bayi perempuan itu didakwa ibu bapa mereka berada dalam lemah dan enggan meminum susu sebelum dikejarkan ke sebuah klinik berhampiran namun disahkan meninggal dunia ketika dibawa ke HSJ.