Nurul Izzah Anwar

KUALA LUMPUR – Walaupun pembahagian kerusi Pakatan Harapan (PH) secara rasmi belum diputuskan namun nama-nama besar dalam pakatan pembangkang itu sudah disebut-sebut dalam PRU-14 ini.

Terbaharu, ada sumber mengatakan kerusi Parlimen Bandar Tun Razak (BTR) di Wilayah Persekutuan akan diisi oleh Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Kak Wan dikatakan perlu bertanding di BTR bagi mengekalkan momentum sokongan kepada bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim yang kini penyandangnya.

Aura Khalid yang bukan lagi dalam PKR itu diperlukan dan orang paling layak ialah Kak Wan.

Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail

Lebih-lebih lagi dalam keadaan Barisan Nasional yang masih tercari-cari formula sama ada mahu mengekalkan calon MCA atau UMNO di BTR.

Sementara itu, bagi anak sulungnya, Nurul Izzah Anwar pula akan mengisi kekosongan Kak Wan di Parlimen Permatang Pauh selain ia menjadi kerusi selamat kepada Naib Presiden PKR itu dalam kelangsungan politiknya.

Kubu kuat PKR sejak zaman ayahnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu akan mengurangkan beban kepada Nurul Izzah yang mahu digilap sebagai pemimpin pelapis pembangkang pada masa depan.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu dikatakan tidak selamat lagi di kawasan lama memandangkan populariti BN terutama UMNO yang diketuai Datuk Raja Nong Chik semakin cemerlang sejak kebelakangan ini.

Bagi kawasan Parlimen Pandan, PKR dikatakan masih tercari-cari calon paling layak memandangkan penyandangnya, Rafizi Ramli tidak lagi akan mempertahankannya pada PRU-14.- MalaysiaGazette