KUALA LUMPUR – HG Power Transmission Sdn Bhd (HGPT), anak syarikat Rohas Tecnic Bhd’s (RTB) dengan kepentingan sebanyak 75 peratus, mendapat dua kontrak Tenaga Nasional Berhad bernilai RM249.63 juta membabitkan pembekalan serta pemasangan talian penghantaran elektrik.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, RTB berkata kontrak pertama bernilai RM126.85 juta, melibatkan pembekalan dan pemasangan Talian Penghantaran Litar Berkembar 500 Kilovoltan (KV) sepanjang 31.8 kilometer dan Talian Penghantaran Litar Berkembar 275 KV sejauh 22.3 kilometer berasaskan siap guna atau turnkey.

Kontrak kedua bernilai RM122.78 juta pula membabitkan pembekalan dan pemasangan Talian Penghantaran Litar Berkembar 500 KV sejauh 31.9 kilometer dan Talian Penghantaran Litar Berkembar 275 KV sepanjang 32 kilometer.

Talian tersebut akan dipasang dari Pencawang Masuk Utama (PMU) Bentong Selatan ke PMU Lenggeng dan dari PMU Lenggeng ke PMU Mahkota Cheras yang dijadual siap dalam tempoh selama 723 hari.

“Projek-projek itu tidak akan memberi sebarang kesan utama terhadap keputusan kewangan kumpulan RTB bagi suku berakhir 31 Mac, 2018 tetapi dijangka menyumbang secara positif kepada kumpulan pada masa depan,” katanya.- BERNAMA