KUALA LUMPUR – Kemelut peruntukan wakil rakyat Pas di Selangor disekat nampaknya belum ada penyelesaiannya.

Kali ini Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dikatakan masih belum memberikan tarikh yang tepat untuk wakil-wakil rakyat Pas untuk berjumpa dengannya.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali

Perkara itu dibangkitkan oleh seorang ADUN Pas, Razaly Hassan yang mendakwa, Azmin belum lagi memberi kata putus untuk bertemu dengan semua Ahli Dewan Undangan Pas di Selangor yang menuntut penjelasan kenapa peruntukan yang disekat oleh kerajaan negeri.

“Setakat sekarang ini kita tunggu keputusan MB, pasal nak jumpa itu persetujuan daripada dia. Mungkin lepas Raya Cina kalau dia setuju, kita jumpa MB nanti. Tapi tak tahu bila tarikh dia,” kata ADUN Dusun Tua itu yang dipetik berkata hari ini.

Sebelum ini, Pesuruhjaya Pas Selangor, Sallehen Mukhyi memberikan kata dua kepada Azmin untuk menyelesaikan isu peruntukan berkenaan sehingga perayaan Tahun Baru Cina, sebelum pihaknya mengambil langkah susulan.

Dalam pada itu, Exco Selangor yang juga Naib Presiden Pas, Datuk Iskandar Abdul Samad juga mengesahkan hanya 13 ADUN Pas yang belum boleh menggunakan peruntukan wakil rakyat, berikutan disekat di Pejabat Daerah masing-masing.

Selepas dikritik hebat, Azmin dalam kenyataannya menafikan peruntukan ADUN Pas disekat, namun menjelaskan terdapat ‘masalah teknikal’. – MalaysiaGazette