Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh

KUALA LUMPUR – Polis akan menahan beberapa individu dalam masa terdekat bagi membantu siasatan kes penipuan penawaran projek pembinaan rumah mampu milik yang tidak wujud oleh seorang individu bergelar Datuk.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh berkata, suspek berusia 52 tahun itu telah ditahan polis pada 7 Februari lalu di Subang Jaya.

Katanya, polis telah menerima laporan mengenai penipuan itu pada 2014 hingga 2017 dan memulakan siasatan ke atas suspek menerusi dua koperasi di Subang Jaya itu.

“Dalam kes ini, individu bergelar Datuk tersebut merupakan Ketua Pegawai Eksekutif di dalam koperasi yang pertama, dan sebagai Pengerusi di dalam koperasi yang kedua.

“Suspek mendakwa telah dilantik sebagai agen kepada kedua-dua koperasi tersebut untuk mendapatkan kontraktor yang berminat bagi projek pembinaan perumahan mampu milik di seluruh negara.

“Bagi koperasi pertama, suspek menawarkan projek pembinaan di beberapa buah negeri iaitu Kedah, Negeri Sembilan, Pahang, Perak dan Johor, manakala bagi koperasi kedua pula, projek ditawarkan di negeri Melaka, Kedah dan Perak,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mengulas lanjut, Amar Singh menambah, modus operandi suspek ialah melantik syarikat mangsa sebagai kontraktor pembinaan rumah mampu milik.

Bagi meyakinkan mangsa, katanya, suspek akan membawa mangsa melawat tapak projek yang telah dikenalpasti dan mengemukakan beberapa dokumen-dokumen yang menunjukkan projek tersebut wujud dan telah mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan.

Jelas beliau, mangsa diminta membayar wang bon pelaksanaan (performance bond) antara RM300,000 hingga RM2.3 juta atas nama koperasi berkenaan.

Setelah bayaran dijelaskan, mangsa akan menandatangani perjanjian usahasama yang disediakan koperasi tersebut dan dijanjikan kerja-kerja pembinaan akan bermula dalam tempoh 18 bulan selepas perjanjian ditandatangani, katanya.

“Namun selepas tamat tempoh 18 bulan yang dijanjikan, magsa tidak dapat arahan untuk memulakan kerja dan setelah semakan dibuat, mangsa mendapti projek yang dijanjikan itu tidak wujud dan projek itu juga tidak pernah diberikan kepada koperasi tersebut.

“Setakat ini, sebanyak 16 laporan polis telah diterima yang melibatkan kedua-dua koperasi itu dengan nilai kerugian berjumlah RM13,610,986.40.

“Daripada jumlah laporan itu, sebanyak 11 kertas siasatan telah dibuka oleh polis dan suspek kini masih dalam tahanan reman untuk siasatan lanjut dan akan dituduh atas kesalahan menipu dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan setelah siasatan disempurnakan polis,” katanya. – MalaysiaGazette