Home Nasional 187 kipas siling tanpa CoA dirampas

187 kipas siling tanpa CoA dirampas

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Tenaga (ST) merampas 187 kipas siling jenama Franco bernilai lebih RM100,000 kerana tidak mempunyai Perakuan Kelulusan (CoA).

Rampasan terbesar dalam tempoh lima tahun itu dilakukan di sebuah gudang di Ampang pada 25 Januari lalu selepas menerima aduan orang awam.

Di bawah Peraturan-Peraturan Elektrik 1994, semua barangan kelengkapan elektrik yang dikawal di negara ini diwajibkan mendapatkan CoA sebelum ia dikilang, diimport, dipamer, dijual atau diiklankan bagi menjamin keselamatan pengguna.

Selepas CoA dikeluarkan, kelengkapan elektrik diwajibkan melalui ujian di SIRIM Bhd dan seterusnya hendaklah dilabel dengan SIRIM-ST sebelum ia boleh dijual, kata ST dalam kenyataan di sini.

Jika sabit kesalahan, pesalah boleh denda hingga RM100,000 atau penjara hingga lima tahun atau kedua-dua sekali boleh dikenakan.

Sehingga hari ini sebanyak 34 jenis kelengkapan elektrik di bawah kawalan ST termasuk soket, lampu, cerek air, ketuhar, peti sejuk, pemanas air, kipas dan pengecas. – MalaysiaGazette