Nasrudin Hassan
Nasrudin Hassan

KUALA LUMPUR – Pas mahu kerajaan meneliti secara terperinci sebelum melaksanakan tindakan susulan berkenaan kes penderaan sehingga mati seorang pembantu rumah warga Indonesia oleh majikan baru-baru ini.

Ketua Penerangannya, Nasrudin Hassan berkata, Pas meneliti perkembangan dan maklum balas yang telah diberikan pelbagai pihak susulan kes berkenaan.

“Isu penderaan pembantu rumah sehingga menyebabkan kematian kembali menjadi perhatian masyarakat susulan kes kematian Adelina Lisao, seorang amah dari Indonesia yang didakwa didera majikannya.

“Isu ini tidak seharusnya dipandang ringan oleh pihak kerajaan. Namun, tindakan yang diambil juga harus dilihat dari pelbagai aspek supaya isu pengambilan amah ini dapat diselesaikan secara holistik,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Dalam kejadian 11 Februari lalu, polis Daerah Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang melaporkan pembantu rumah warga Indonesia yang didera majikannya sebelum diselamatkan telah meninggal dunia.

Mangsa meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Bukit Mertajam akibat mengalami kecederaan di kepala, muka dan cedera di kedua kaki.

Adelina ditemui kira-kira jam 8 malam pada 10 Februari selepas polis menerima laporan berhubung kejadian itu daripada pembantu kepada Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Lim dan menahan sepasang adik beradik sebelum menahan ibu mereka, iaitu majikan mangsa bagi membantu siasatan.

Menurut Nasrudin, antara fokus penting adalah terhadap isu pemantauan kebajikan dan keselamatan pekerja asing yang bekerja di negara ini.

Perkara ini kata beliau, memerlukan pemantauan terhadap profesionalisme kerja seorang amah terhadap majikannya serta layanan yang diberikan majikan terhadap pekerjanya.

“Ia melibatkan hubungan dua hala antara amah dan majikannya,” tegas beliau.

Katanya, isu itu harus dilihat dari dua segi iaitu pertama, isu pengawalan kemasukan amah untuk bekerja di Malaysia termasuk aspek saringan kesihatan dan latihan profesionalisme dan pemantauan terhadap kebajikan serta keselamatan mereka yang bekerja di Malaysia.

“Pendekatan kerajaan perlu dilihat secara objektif, menyeluruh dan bersifat jangka panjang.

“Walaupun keseluruhannya kes penderaan yang berlaku terhadap amah di negara ini masih rendah, namun ia bukan alasan supaya kita menutup mata terhadap apa yang berlaku terhadap mangsa,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast