Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor kelihatan berbual bersama Menteri Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (dua kiri) dan Pengerusi FELCRA Berhad, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin (tiga kiri) ketika hadir pada Konvensyen Perdana WADIRA FELCRA Berhad 2018 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 22 FEBRUARI 2018

KUALA LUMPUR – Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) akan mendapatkan gambaran sebenar isu Orang Asli di Kelantan terlebih dahulu sebelum mengambil sebarang keputusan.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pihaknya tidak mahu terburu-buru menuduh mana-mana pihak berdasarkan maklumat yang belum disahkan.

“Saya belum dapat gambaran sebenar mengenai perkara ini. Saya akan dapatkan maklumat terperinci terlebih dahulu.

“Saya tidak mahu tuduh sesiapa lagi, masyarakat Orang Asli atau kerajaan negeri,” katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis perasmian Konvensyen Perdana Wanita Dinamis Felcra (Wadira) 2018 oleh isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini.

Sebelum itu, ada dakwaan Orang Asli telah membuat sekatan di beberapa laluan ke kawasan pembalakan di Gua Musang, Kelantan sejak 13 Februari lalu.

Ismail Sabri menambah, isu sekatan itu bukan perkara baharu kerana sebelum ini ia pernah berlaku dan berjaya diselesaikan.

“Dulu pun pernah berlaku tapi kita berjaya selesaikan sebab ia melibatkan kerajaan neger yang keluarkan lesen pembalakan adalah kerajaan negeri.

“Apa yang boleh dilakukan Jakoa (Jabatan Kemajuan Orang Asli Malaysia) di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah adalah berunding dengan kerajaan negeri.

“Dahulu pun kita panggil pemimpin Jakoa dan kerajaan negeri supaya berbincang dan selesaikan,” katanya.

Sabtu lalu, pemimpin Jaringan Kampung Orang Asli di Kelantan, Mustafa Along dilaporkan berkata seramai 800 Orang Asli mendirikan sekatan di Gua Musang bagi menghalang lori keluar masuk di kawasan itu dan membantah aktiviti pembalakan serta perlombongan yang meluas.

Beliau berkata, ada aktiviti pembalakan dan penanaman getah secara meluas di Chawas, penanaman pokok durian Musang King serta pembalakan dijalankan di Tohoi, manakala syarikat swasta menjalankan pembalakan, penanaman kelapa sawit dan perlombongan emas di Kuala Wok.

Susulan sekatan itu lebih 50 penduduk Orang Asli suku Temiar dari 6 pos penempatan di Gua Musang membuat laporan polis semalam bagi membantah sekatan itu dan mendakwa penduduk terlibat dipercayai dihasut pihak tertentu dari luar Kelantan. – MalaysiaGazette