Azizan Abu Taat

KUALA LUMPUR – Pengarah Bahagian Pelaksanaan Operasi, Agensi Pengurusan Bencana Negara, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Datuk Azizan Abu Taat dilantik sebagai Ketua Pengarah Keselamatan Kerajaan Malaysia yang baharu.

Datuk Sanusi Sidek yang merupakan Ketua Pengarah Keselamatan Kerajaan Malaysia mengambil alih tempat Azizan sebagai Pengarah Bahagian Pelaksanaan Operasi, Agensi Pengurusan Bencana Negara MKN yang baharu.

Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Urus Setia Ketua Polis Negara (KPN) Bukit Aman, Datuk Asmawati Ahmad dalam kenyataan berkata Azizan dan Sanusi antara enam pegawai kanan PDRM yang terlibat dalam pertukaran dan penyelarasan jawatan yang akan berkuat kuasa pada 26 Mac ini.

Menurutnya, pertukaran itu turut melibatkan Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak DSP Kamarulzaman Jusoh @ Mohd Daud dinaikkan pangkat sebagai Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik, IPK Pahang dengan memangku pangkat Supt.

Kenyataan itu turut memaklumkan Pegawai Turus (D13) Siasatan Databank DNA Jabatan Siasatan Jenayah, IPK Negeri Sembilan ASP Anuar Bakri Abdul Salam dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Rembau, Negeri Sembilan dengan memangku pangkat DSP.

Sementara itu, ASP Shahnaz Akhtar Haji yang kini Ketua Polis Balai Jitra, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu, Kedah dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Yan, Kedah dengan memangku pangkat DSP.

Asmawati turut memaklumkan Ketua Bahagian Sumber Strategik dan Teknologi, IPD Kuala Terengganu akan menjawat jawatan Ketua Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi IPK Terengganu yang baharu dengan memangku pangkat DSP. – BERNAMA