Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani bersama Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin serta Menteri Pertanian Industri Asasi Tani, Datuk Seri Shabery Cheek melawat gerai jualan pada Program Jualan Sentuhan Rakyat di Desa Pandan, Kuala Lumpur. foto AQIRA AZEMI, 24 FEBRUARI 2018.

KUALA LUMPUR – Tawar harga rendah daripada biasa.

Itu jaminan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dalam program Jualan Sentuhan Rakyat Siri 3 yang diadakan di seluruh negara hari ini.

Menurut menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, pengguna harus bijak dalam berbelanja dan program itu merupakan platform yang betul memastikan mereka tidak lagi dibebani kos kenaikan harga barang.

“Sehingga hari ini, sebanyak 238 program Jualan Sentuhan Rakyat sedang berlangsung di seluruh negara. Malah pengunjung yang hadir telah melebihi satu juta pengunjung, ini membuktikan rakyat memberikan sokongan kepada kerajaan.

“Dengan adanya Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Shabery Cheek maka rakyat akan tahu kita akan ada barang yang boleh diberikan dengan harga berpatutan,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan program Jualan Sentuhan Rakyat siri 3 di perkarangan Pangsapuri Desa Pandan pagi tadi.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin bercakap kepada media pada Program Jualan Sentuhan Rakyat di Desa Pandan, Kuala Lumpur. foto AQIRA AZEMI, 24 FEBRUARI 2018

Hadir sama, Menteri Kewangan II, Datuk Johari Abdul Ghani yang juga merupakan Ahli Parlimen Titiwangsa.

Bertemakan “Rendah dari harga biasa”, kebanyakan barangan yang dijual disini sememangnya lebih rendah daripada yang ditawarkan di kawasan lain.

Antaranya harga daging lembu yang dijual RM22 sekilogram, ikan kembung dengan RM17 sekilogram, dang segar, RM30 sekilogram, sardin RM12 sekilogram, ikan bawal RM24 sekilogram, ikan tenggiri RM30 sekilogram, ketam RM35 sekilogram dan sotong RM29 sekilogram.

 

Mengulas lanjut, Hamzah berkata, rakyat seharusnya pandai memastikan mereka tidak terjerat dalam isu kenaikan harga barang mahu pun kenaikan taraf hidup.

“Kita kena tukarkan persepsi bahawa yang penting harga barang itu diberikan berpatutan. Tunggulah, di kawasan masing-masing, kita boleh beli.

“Saya sudah buat perkiraan dengan hanya membawa RM85, satu keluarga ada empat orang mereka boleh beli ayam, ikan untuk kegunaan harian,” katanya lagi. -MalaysiaGazette.