KUALA LUMPUR – Modus operandi pendatang asing tanpa izin (PATI)  yang memasuki negara ini menggunakan jalan tikus dan bekerja di ladang getah di Kedah berhampiran sempadan Thailand dikesan.

Jabatan Imigresen Malaysia berjaya menghidu taktik mereka dan mengepung sebelum menangkap seramai 97 pendatang asing itu dalam satu serbuan bermula pukul 9 malam Jumaat lalu di Bukit Dukung, Kuala Nerang.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, pihaknya menjalankan risikan lebih tiga bulan sebelum melancarkan operasi besar-besaran menggunakan kekuatan seramai 143 anggota tentera dan 193 anggota Imigresen termasuk 32 anggota pasukan Taktikal Khas Imigresen.

“Hasil pemeriksaan kita menemui beberapa bangsal atau pondok yang diperbuat daripada kanvas dan plastik di sekitar kawasan ladang getah di Bukit Dukung.

“Siasatan juga mendedahkan mereka bekerja di ladang getah dipercayai dengan bantuan warga tempatan secara haram,” katanya pada sidang hari ini.

Beliau berkata demikian selepas hadir ke Program Pertandingan Bowling bersama Media dan atlet Paralimpik Kebangsaan dan pringkat Sukan Malaysia (Sukma) di Ampang Bowl, Times Square di sini hari ini.

Dalam operasi sama, menurut Mustafar, ada pendatang asing cuba melarikan diri setelah mengesa kehadiran pihak berkuasa namun semuanya berjaya dicekup.

Katanya, daripada 97 orang yang ditangkap itu, 18 orang merupakan wanita dan enam kanak-kanak termasuk seorang kanak-kanak lelaki.

Tambah beliau, pihaknya akan terus mengadakan operasi bagi menyekat kehadiran pendatang asing menggunakan laluan tikus disempadan negara.

“Dalam operasi ini, pasukan Taktikal Khas Imigresen seramai 32 yang mendapat latihan daripada polis Pasukan Gerakan Am di Kem Ulu Kinta, Ipoh.

“Ini merupakan tugasan pertama mereka sejak pasukan taktikal kami ditubuhkan dua minggu lepas,” ujar beliau.

Selain itu, menurutnya, sejak 1 Januari hingga 7.30 pagi ini, seramai 8,000 pendatang asing tanpa izin dan 170 majikan ditahan.

“Mereka ditahan kerana menceroboh tanpa dokumen sah selain majikan yang menggaji mereka di ladang tanaman getah secara haram.

“Kalau nak mengupah pekerja asing, sila ikut lunas undang-undang dengan dokumen yang teratur dan sah, jangan mencabar pihak berkuasa dan cuba menggunakan jalan haram untuk membawa mereka.

“Imigresen tidak akan berkompromi dalam hal ini, kita akan cari mereka sehingga ke lubang cacing untuk membanteras PATI dan dalang yang ada disebaliknya,” tegasnya.- MalaysiaGazette