Home Dunia Delta, United putuskan hubungan dengan NRA

Delta, United putuskan hubungan dengan NRA

NEW YORK – Delta Air Lines dan United Airlines menjadi syarikat penerbangan terkini yang memutuskan hubungan pemasaran dengan National Rifle Association (NRA) susulan serangan di sebuah sekolah tinggi di Florida yang meragut banyak nyawa.

Langkah itu dibuat selepas NRA melancarkan serangan balas terhadap desakan kempen anti-senjata oleh para pelajar sekolah.

NRA bertindak balas dengan mengatakan bahawa ahli-ahlinya sedang dihukum, tetapi tidak takut untuk berhadapan dengan tindakan daripada ahli politik dan entiti-entiti perniagaan.

Dalam tweet pada hari Sabtu, Delta dan United berkata, mereka tidak lagi menawarkan kadar diskaun NRA danmeminta NRA untuk membuang maklumat tentang itu dari laman sesawangnya.

Polemik itu tercetus daripada isu kawalan senjata dan NRA telah menentangnya – menyebab ia menjadi fokus debat.

Dalam kejadian 14 Februari lalu, seramai 17 orang maut di Sekolah Tinggi Marjory Stoneman Douglas di Fort Lauderdale, Parkland, selepas bekas pelajar sekolah itu menggunakan senapang AR-15 yang dibeli secara haram untuk melakukan serangan.

Jurucakap NRA telah menyerang para penyokong kawalan senjata, dengan mengatakan elit Demokratik mempolitikkan isu berkenaan untuk menjejaskan hak pemilikan senjata.

Dalam satu kenyataan pada hari Sabtu, NRA berkata, lebih daripada lima juta ahlinya mematuhi undang-undang dan tidak ada kaitan dengan kegagalan keselamatan sekolah, sistem kesihatan mental, atau penguatkuasaan undang-undang tempatan dan persekutuan yang dikatakan telah menyebabkan tragedi tersebut. – MalaysiaGazette