Home Nasional TEKUN bertahan 20 tahun kerana kerajaan pusat

TEKUN bertahan 20 tahun kerana kerajaan pusat

KUALA LUMPUR – Hanya kerajaan pusat yang sedang memerintah sahaja mampu membuat program Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional (TEKUN) sehingga ia berjaya bertahan selama lebih 20 tahun.

Menurut Pengerusinya, Datuk Nor Azita Abd Rahman, ia terbukti menerima maklumat daripada golongan usahawan di Selangor semasa dialog TEKUN yang mendakwa Program HIJRAH aspirasi parti pembangkang berhadapan dengan masalah selepas empat bulan diperkenalkan.

“Sebab tidak semua kerajaan boleh buat semua ini, saya hari itu dikhabarkan dengan berita Selangor, kerajaan negeri Selangor ada buat HIJRAH saatu program yang dibuat lebih kurang macam TEKUN bagi pinjaman kewangan mikro kredit.

“Mula-mula ok, dikatakan nak pinjam RM5,000 mudah selepas isi borang dua minggu dah boleh dapat. Dengan total peruntukan yang diberikan RM10 juta sebulan, saya kira kira untuk TEKUN Nasional satu Malaysia RM30 juta sebulan sahaja untuk dikeluarkan pinjaman.

“Saya dengar ia empat bulan sahaja ia berikan pinjaman bulan kelima sudah tidak boleh sebab nak kutip balik hutang bukannya mudah.

“Sebab itu saya katakan tidak semua orang boleh bertahan macam TEKUN Nasional smpai 20 tahun nak meneruskan,” katanya semasa berucap di majlis pelancaran Buku Usahawan TEKUN Nasional di ibu pejabatnya sebentar tadi.

Justeru itu tambahnya, usahawan seluruh negara yang telah berjaya dalam perniagaan masing-masing menerusi program TEKUN perlu menghargai kemudahan dan bantuan yang diberikan oleh kerajaan persekutuan.

“Sekarang kita hargai usahawan (menerusi terbitan buku) supaya mereka rasa kerajaan juga memandang tinggi usahanya sehingga berjaya.

“Kita tidak mahu tanggungjawab kerajaan bagi peruntukan untuk bagi pinjaman kepada usahawan tetapi kita juga mahu usahawan itu ada rasa tanggungjawab juga untuk menghargai apa yang kerajaan dah sediakan untuk para usahawan,” ujarnya beliau.

Menurut Nor Azita, kerana tidak mahu dilihat hanya sebagai pemberi pinjaman, maka dengan itulah TEKUN menerbitkan buku yang menceritakan kejayaan 500 usahawan di bawah program ini.

“Ini adalah usaha yang sangat baik daripada TEKUN Nasional kerana kita nak mengiktiraf kejayaan ini. Kita nak orang yang berjaya ini dia rasa dihargai.

“Tidaklah hanya kita beri pinjam dan cukup bulan kutip hutang,” katanya. -MalaysiaGazette