Pengerusi Tekun Nasional, Datuk Nur Azita Abdul Rahman berucap pada Majlis Perasmian Buku Usahawan Tekun Nasional di Ibu Pejabat Tekun Nasional, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 26 FEBRUARI 2018

KUALA LUMPUR – Sebanyak RM5 bilion telah disalurkan kepada 402,842 usahawan oleh Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional (TEKUN) sepanjang 20 tahun beroperasi, kata pengerusinya, Datuk Nor Azita Abd. Rahman.

Manakala bagi tahun ini TEKUN menyasarkan peruntukan RM500 juta pembiayaan yang dijangka bakal memanfaatkan kepada 35, 000 usahawan seluruh negara.

“Pada tahun 2018, TEKUN menyasarkan penyaluran pembiayaan berjumlah RM500 juta yang dijangka akan memberi manfaat kepada 35,000 orang usahawan seluruh Malaysia,” katanya.

Jelas Nor Azita, selain daripada memberikan pembiayaan untuk peluang perniagaan kepada para usahawan bumiputera, pihaknya turut mewajibkan seminar asas keusahawanan kepada semua peminjamnya.

“Ianya bertujuan bagi mendapat pengetahuan asas berkaitan pengendalian perniagaan dan perakaunan.

“Usahawan perlu melengkapkan diri dengan pengetahuan keusahawanan, menjalinkan kerjasama dengan agensi kerajaan terutamanya yang membolehkan usahawan memanfaatkan teknologi terkini, meluaskan rantaian perniagaan, kekuatan kewangan dan nilai keusahawanan,” tambah beliau.

Sehingga kini, sebanyak 693 siri seminar berkenaan telah dilaksanakan dengan penglibatan seramai 169, 932 usahawan seluruh Malaysia. – MalaysiaGazette