Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menyampaikan amanat pada Majlis Amanat Menteri Pertahanan 2018 di Wisma Perwira, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 27 FEBRUARI 2018.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan (Mindef) mengumumkan tujuh inisiatif baharu untuk kakitangan awam di kementerian itu sebagai langkah membela kebajikan dan menambah baik kualiti hidup mereka.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, antaranya tujuh inisiatif itu ialah pembinaan sebanyak 500 unit khas rumah di bawah Rumah Wilayah Persekutuan (RUMAWip) berkeluasan 1,000 dan 1,200 kaki persegi dengan harga bernilai RM150,000 sebagai mengurangkan beban kos sara hidup dalam aspek pemilihan rumah sendiri.

Selain itu, katanya Karnival Jualan Murah (MyBestBuy) terendah dari pasaran secara bulanan untuk kakitangan awam Mindef, menaiktaraf Taska Puspanita Mindef dan penyediaan Rumah Transit, bantuan pendidikan khas RM100 dan RM150 bulanan selama setahun untuk anak-anak kakitangan awam Mindef yang cemerlang PT3 dan SPM.

“Satu lagi inisiatif penting ialah peningkatan kuota khas ibadah Haji kepada kakitangan awam Mindef daripada 100 orang kepada 200 orang tanpa menunggu giliran yang ditetapkan Tabung Haji.

“Dua lagi inisiatif juga akan diberi penekanan iaitu memperkasa pendidikan anak-anak warga awam Mindef di 38 sekolah dalam kem tentera termasuk kemudahan Feri Sekolah dan akhirnya kakitangan awam dibenarkan mendapatkan rawatan perubatan di Poliklinik ATM dan Hospital Angkatan Tentera.

“Kesemua inisiatif ini adalah tanggungjawab kami untuk menghargai dan menjaga kepentingan warga awam dan mengenang sumbangan mereka di Mindef dan yakin ia diterima baik oleh mereka,” katanya dalam amanat khas beliau kepada warga kementerian itu di Wisma Perwira ATM di sini hari ini.

Turut bersama, Panglima Aangkatan Tentera Malaysia (ATM),Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohd Johari Baharum dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi.

Selain itu, Hishammuddin turun menambah dua inisiatif tambahan untuk warga dan veteran ATM iaitu skim pembiayaan Amanah Saham Bumiputra Zulu (ASB-Zulu) kepada mereka yang layak yang dilakukan dengan kerjasama Permodalan Nasional Berhad dan Bank Muamalat Malaysia Berhad (BMMB) dan Tabung Khas untuk Badan Kebajikan Keluarga ATM.

Sementara itu, Hishammuddin turut mengumumkan enam teras hala tuju untuk warga Angkatan Tentera Malaysia yang akan dipantau pelaksanaannya oleh Jawatankuasa Induk Hala Tuju Mindef yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha kementerian itu dan Panglima ATM yang ditelah ditubuhkan sebelum ini.

Enam teras hala tuju itu ialah Teras Kebajikan, Teras Perumahan, Teras Kesiapsiagaan, Teras keselamatan, Teras Diplomasi Pertahanan dan Teras Program Latihan Khidmat Negara.

Antaranya, Teras Kebajikan yang merangkumi pembinaan lima poliklinik ATM baharu di Kluang, Seberang Takir, Kuantan, Sungai Petani dan Kuching yang akan dilengkapi kemudahan rawatan pergigian, wad pemerhatian, rawatan hemodialisis, rawatan pakar, pembedahan kecil dan beberapa perkhidmatan lain.

Malah katanya, lima hospital angkatan tentera yang sedia ada akan dinaiktaraf selain bakal membina Hospital Veteran ATM baharu.

“Menerusi teras perumahan, kementerian Pertahanan akan melancarkan Pelan Induk pembangunan atau Blueprint perumahan dalam waktu terdekat melibatkan pembinaan 9,000 unit rumah untuk anggota tentera serta baki 31,531 unit secara berperingkat sehingga tahun 2030,” katanya. – MalaysiaGazette