Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Tun Mahathir Mohamad bercakap sidang media Parti Pribumi Bersatu Malaysia di Galeri PPBM Menara Yayasan Selangor, Petaling Jaya, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 27 FEBRUARI 2018.

PETALING JAYA – Walaupun belum diluluskan pendaftarannya, Pakatan Harapan (PH) nekad untuk bertanding menggunakan satu logo pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Pengerusi gabungan pembangkang itu, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, logo yang akan digunakan adalah salah satu daripada keempat-empat komponen parti tersebut sama ada PKR, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), DAP dan Parti Amanah Negara (PAN).

Walaubagaimanapun Tun M enggan memaklumkan logo yang bakal digunakan kelak.

“Kita buat keputusan iaitu kita parti PH akan menggunakan satu logo sahaja dalam pilihanraya. Ini keputusan kita. Iaitu semua parti akan menggunakan satu logo.

“Sama ada dilulus atau pun tidak kita akan guna satu logo sebagai identiti kita dalam pilihan raya yang akan datang ini.

“Kita guna mana-mana simbol atau logo dalam mana-mana parti dalam PH. Pilih satu daripada empat parti,” katanya kepada pemberita ketika sidang media selepas beliau mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden PH di Ibu Pejabat PPBM hari ini.

Dalam pada itu, walaupun RoS sebelum ini mengingatkan parti itu bahawa tindakan mahkamah yang diambil akan merencatkan proses pendaftaran, namun Tun M hari ini sekali lagi menegaskan parti itu tidak akan berganjak daripada keputusan mereka.

“Masih tidak jawab walaupun kita sudah buat tuntutan mahkamah dan kita akan terus dengan mahkamah pada hari Khamis.

“Kita harap mahkamah akan memberi pandangan terhadap keengganan RoS untuk jawab soalan kita,” tambahnya.

Malah Pengerusi PPBM itu menyelar RoS kerana mengambil masa yang lama untuk meluluskan permohonan parti itu yang disifatkannya sebagai suatu keputusan yang mudah.

“Saya tidak rasa mereka terlalu bodoh sebab orang pandai seperti mereka tidak perlu ambil masa enam bulan untuk buat keputusan yang ‘simple’,” ujarnya. -MalaysiaGazette