Azeez
Abdul Azeez Abd Rahim

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Azeez Abdul Rahim menafikan dakwaan beliau ada menerima bayaran jutaan ringgit untuk proses perundingan projek terowong dasar laut Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (Zenith).

Beliau mendakwa tidak mengenali individu yang disebut sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Zenith,  Zarul Ahmad Zulkifli malah tidak mengenali sesiapa yang berurusan dengan individu berkenaan.

“Saya tidak kenal mereka, malah tidak pernah jumpa sesiapa pun dari syarikat berkenaan. Apatah lagi projek itu dekat Pulau Pinang.

“Takkan saya seorang pemimpin UMNO nak buat urusan dengan syarikat berkaitan negeri Pulau Pinang?

“Tidak tahulah kalau ada orang yang guna nama saya tapi saya tidak dimaklumkan,” katanya selepas selesai menjadi ahli panel dalam program Sembang Kopi ‘O’ 3.0 yang diadakan di Dewan Perdana 1, Universiti Malaya (UM) malam tadi.

Nama Azeez disebut oleh pihak Zenith setelah mengeluarkan surat tuntutan kepada Pengerusi Tabung Haji itu dan ahli perniagaan, N. Gnanaraja bernilai RM3 juta dan RM19 juta.

Syarikat itu menyaman kedua-dua individu berkenaan kerana didakwa gagal menjalankan tugas memberikan khidmat rundingan seperti perjanjian pada Julai tahun lepas.

Zenith mendapat projek berkenaan daripada kerajaan Pulau Pinang melalui proses tender terbuka pada tahun 2013.

Dalam pada itu, Azeez  menegaskan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap sesiapa sahaja yang cuba mengaitkan beliau dengan isu berkenaan.

“Saya dapat surat syarikat Consortium Zenith Construction tetapi nama yang tertera orang lain. Agak pelik sikit sebab syarikat itu besar uruskan berbilion ringgit takkan wang tunai itu diberikan di tepi jalan.

“Saya bukan nafi tapi saya tidak tahu menahu mengenai perkara itu. Malah saya tidak tahu menahu mengenai dakwaan itu.

“Saya sedia untuk beri keterangan kepada SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) saya akan beri kenyataan,” katanya. -MalaysiaGazette.

Ahli perniagaan ditahan SPRM kes terowong dasar laut