Home Dunia Sridevi lemas dalam tab mandi

Sridevi lemas dalam tab mandi

NEW DELHI – Pelakon Bollywood, Sridevi Kapoor meninggal dunia akibat lemas, menurut laporan bedah siasat.

Pelakon berusia 54 tahun itu lemas dalam tab mandi pangsapuri hotelnya selepas tidak sedarkan diri.

Laporan itu sekaligus menjawab teka-teki kematian Sridevi yang didakwa akibat serangan jantung pada malam Sabtu lalu semasa berada di Dubai bagi menghadiri majlis perkahwinan anak saudaranya.

Media milik Kerajaan Dubai melaporkan analisis bedah siasat selesai dan punca kematian sudah dikenal pasti.

Kes itu telah diserahkan kepada Pendakwaan Awam Dubai untuk “prosedur undang-undang biasa”.

Laporan bedah siasat itu juga telah dikeluarkan oleh polis Dubai kepada keluarga Sridevi dan konsulat India, kata Gulf News.

Berdasarkan laporan itu kemungkinan penghantaran mayat Sridevi ke India dibuat pada hari Isnin.

Bagaimanapun, media rasmi itu tidak mendedahkan jika ada keputusan ujian toksikologi.

Laporan penuh bedah siasat itu belum dijadikan dokumen awam dan dijangka menerangkan bagaimana laporan asal dakwaan serangan jantung dan lemas dengan tidak disengajakan ada kaitan. – MalaysiaGazette