Presiden Parti Ekonomi Rakyat Malaysia (PEKIRA), Mohd Ridzuan Abdullah

KUALA LUMPUR – Pengacara dan pelakon, Neelofa mungkin mempunyai niat baik apabila memilih The Zouk sebagai lokasi pelancaran tudung baharunya.

Presiden Parti Ekonomi Rakyat Malaysia (Pekira), Mohd. Ridzuan Abdullah berkata, ia memang memberi implikasi negatif namun mungkin ada sisi positif yang mahu dibawa oleh selebriti terkenal itu.

“Kita jangan pandang negatif sahaja apa yang Neelofa buat.  Dia cuba promosi golongan wanita supaya berhijab. Bila dia buat di situ (kelab malam) sudah tentu akan timbul kesedaran terutama mereka yang sering pergi pub selalu.

“Mungkin itu salah satu cara Neelofa berdakwah. Kalau kita lihat dia sendiri bertudung,” katanya mengulas isu kontroversi melibatkan Neelofa sejak kebelakangan ini.

Ridzuan berkata, majlis pelancaran yang diadakan itu mungkin bersyarat tanpa ada sebarang minuman keras dihidangkan kepada pengunjung serta larangan merokok atau sebagainya.

Dalam pada itu, selain menulis surat terbuka kepada Neelofa, Ridzuan yang juga Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) juga mahu Mufti Wilayah, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri juga melihat isu berkenaan  dalam konteks lebih besar.

Katanya, mufti tersebut perlu lebih peka dengan situasi yang berlaku dan tidak wajar melihatnya dari satu sudut pandangan yang sempit.

“Sepatutnya mufti ini memainkan peranan untuk memastikan pub-pub yang wujud ini tidak dimasuki oleh orang Islam. Perlu dikenakan tindakan.

Terdahulu, pengacara rancangan hiburan Meletop itu sebelum itu teruk dikecam di media sosial gara-gara memilih The Zouk sebagai lokasi untuk mempromosi perniagaan tudungnya.

Bagaimanapun Neelofa bangkit mempertahankan tindakanya itu dengan memberitahu bahawa pemilihan Zouk adalah sesuai dengan tema dan bajet acara yang dianjurkannya. – MalaysiaGazette