Ketua Pegawai Eksekutif Nafas Sialin, Datuk Sia Swee Seng berkata produk hiliran itu khususnya makanan kesihatan berpotensi besar di pasaran Asia barat dan mampu menjana pendapatan lumayan bernilai jutaan ringgit kepada pengusaha tempatan.
“Berbeza di China, pasaran Asia Barat kita akan tumpukan kepada produk hiliran seperti sup sarang burung segera yang dibotolkan dan kopi segera sarang burung walet,” katanya kepada pemberita selepas program lawatan media ke Nafas Sialin, di sini hari ini.
Menurutnya kualiti kebersihan sarang burung walet adalah aspek utama yang perlu dititik beratkan bagi menembusi pasaran halal antarabangsa terutamanya di Asia Barat.
“Di Nafas Sialin, kita menggunakan teknik profesional dan teknologi canggih serta sistem pengurusan berkualiti termasuk penggunaan teknologi nano-bubble bagi menanggalkan kotoran halus yang larut dalam air,” katanya.
Pekerja Syarikat NAFAS Sialin (M) Sdn Bhd mengeringkan sarang burung walet selepas dibersihkan
Sia berkata industri sarang burung kini semakin popular dalam kalangan usahawan kerana tidak memerlukan kos tinggi iaitu sekitar RM25,000 sahaja bagi penyediaan premis bersaiz kecil dan hasil dapat dipunggut dalam masa setahun.
Berhubung pasaran di China, Sia berkata: “Ketika ini, Nafas Sialin menghasilkan sebanyak 500 kilogram sarang burung walet bersih dengan jenama Peladang dieksport ke China sebulan dan berharga RM10,000 sekilogram di negara itu”.- BERNAMA