Suruhanjaya Sekuriti

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menyabitkan kesalahan terhadap individu berusia 67 tahun atas dua kesalahan menipu Koperasi Pelaburan Pekerja-Pekerja Proton Bhd
(KOPRO) antara Ogos 2007 dan November 2008.

Ismail Basir mengaku bersalah dan telah dihukum penjara setahun dan didenda sebanyak RM1 juta atau enam bulan penjara bagi setiap pertuduhan, oleh Hakim Mahkamah Sesyen Azman Ahmad.

Hukuman penjara tersebut berjalan secara serentak.

Ismail dikenakan pertuduhan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia pada 16 Januari 2018 dengan pertuduhan penipuan sekuriti di bawah seksyen 87A(b) Akta Perindustrian Sekuriti 1983 dan seksyen 179(b) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007.

Fakta kes menunjukkan bahawa Ismail telah menipu KOPRO dengan mengaku dirinya sebagai remisier di PM Securities Sdn Bhd (PM Securities), walhal Ismail tidak pernah dilesenkan oleh SC sebagai Wakil Peniaga, menuurt kenyataan SC.

Tertuduh kemudiannya memperdaya KOPRO, telah membuka akaun dagangan saham di bawah nama KOPRO di PM Securities dan sejumlah RM350,000 telah dikumpulkan olehnya daripada KOPRO, kononnya untuk membeli saham Proton Holdings Bhd (Proton).

Ketika melakukan penipuan tersebut, Ismail telah memberi penyata akaun dan nota kontrak KOPRO yang direka untuk memberi gambaran palsu kepada KOPRO bahawa wang tersebut telah digunakan untuk transaksi saham Proton, tetapi sebenarnya transaksi tersebut tidak wujud.

Ismail mengaku wang tersebut telah didepositkan ke dalam akaun dagangan saham yang lain yang dikawalnya dan yang mana dia telah menjalankan dagangan saham dan membuat pengeluaran untuk manfaat dirinya sendiri. – MalaysiaGazette