Tertuduh kes samun jurufoto Malaysia Gazette, Mohd Nazmi Tarmizi (berbaju jingga) diiringi anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) ketika hadir bagi mendengar sebutan kes pertuduhan terhadap beliau di Mahkamah Seksyen Sepang, Selangor. foto SAFWAN MANSOR, 01 MAC 2018

SEPANG – Seorang penghantar barang mengaku tidak bersalah atas tuduhan menyamun seorang jurufoto Malaysia Gazette pada 18 Februari lalu.

Tertuduh Mohd Nazmi Tarmizi, 29 dihadapkan ke Mahkamah Seksyen Sepang dibawah Seksyen 392 dibaca sekali dengan Seksyen 397 Kanun Keseksaan.

Tertuduh diwakili peguam yang dilantik keluarganya, Emirul Sarifudin Nor Azmi.

Hakim Mahkamah Seksyen Sepang, Harith Syam Mohamed Yasin menetapkan ikat jamin sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin.

Harith Syam turut menetapkan tarikh 5 April depan sebagai sebutan kes.

Jika sabit kesalahan, tertuduh yang mempunyai seorang isteri dan anak itu boleh dihukum penjara sehingga 14 tahun juga dikenakan sebatan atau denda.

Pada 21 Februari lalu, tertuduh ditahan sekumpulan jurufoto media bersama pihak polis.

Suspek ditahan ekoran tindakan beliau yang menjual barang curi itu yang diiklankan di sebuah portal jual beli.

Turut ditahan bersama tertuduh, dua lagi rakannya di sebuah stesen minyak di Bukit Dukung, Kajang.

Dalam kejadian samun bersenjata kira-kira 2.30 petang di Lebuh Silikon, Serdang, jurufoto Malaysia Gazette Muhammad Affan Fauzi, 21, kerugian lebih RM25,000 semasa dalam perjalanan dari Sepang ke Ampang dengan menaiki motosikal selepas pulang daripada tugasan beliau.

Seorang daripada suspek yang berusia lingkungan 30-an yang sebelum itu kononnya hendak membantu menunda motosikal mangsa yang kehabisan minyak, tiba-tiba mengacukan parang kepada Muhammad Affan.

Suspek lalu melarikan set badan kamera SLR Nikon D800, lensa telefoto dan lensa standard kamera, ‘speedlite’ milik majikan, telefon bimbit, serta beg mengandungi komputer riba serta dompet. – MalaysiaGazette.