ALOR SETAR, 2 Mac -- Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar (tiga, kanan) bersama Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah (empat, kanan) melawat Rancangan Perumahan Awam (RPA) Flat Seri Gemilang hari ini. --fotoBERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA

ALOR SETAR – Kerajaan negeri Selangor dilihat memberikan kenyataan agak bercanggah berhubung projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) apabila menyatakan bahawa mereka tidak pernah menerima sebarang permohonan untuk projek itu.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar berkata, ini kerana perkara itu telah pun dibangkitkan pada mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) sebelum ini yang mana Selangor telah menghantar exco perumahan sebagai wakilnya sedangkan mesyuarat tersebut sepatutnya dihadiri oleh menteri-menteri besar.

“Saya masih ingat sewaktu mesyuarat MPFN, perkara ini kita sudah bangkitkan dan pada masa itu diberitahu bahawa kerajaan negeri Selangor akan memberikan kerjasama untuk melaksanakan (ECRL) dan mereka juga telah diberikan taklimat dalam mesyuarat itu, dalam mesyuarat telah dimaklumkan,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke Flat Seri Gemilang di sini hari ini.

Baru-baru ini, Ketua Pembinaan Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) Noor Azlan Salleh dilaporkan berkata, sehingga kini kerajaan Selangor masih belum meluluskan tanah kepada syarikat itu untuk melaksanakan projek ECRL di negeri berkenaan meskipun permohonan telah dibuat pihaknya sebelum ini.

Bagaimanapun semalam, akhbar melaporkan kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana dan Pengangkutan Selangor, Datuk Teng Chang Khim yang menafikan kerajaan negeri telah menerima permohonan untuk projek itu, sebaliknya hanya menerima taklimat berkaitan.-BERNAMA