KUALA LUMPUR – Masyarakat Cina dalam negara dinasihatkan tidak menaruh harapan kepada DAP kerana parti itu tidak mampu memperjuangkan kaum tersebut.
Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, DAP bukan sahaja bijak memainkan isu demi kepentingannya, namun dalam masa sama tidak mempunyai pendirian tetap apabila dengan mudah bertukar-tukar rakan komponen.
“Jangan kita memberi harapan bahawa DAP boleh memperjuangkan masalah pengundi Cina. Kerana kita tahu DAP memainkan apa juga isu dan sering tukar pasangan daripada Anwar Ibrahim, Hadi Awang dan Mahathir Mohamad.
“Tukar dia punya muka cepat dan pantas kita tidak tahu apa warna DAP.
“Itulah DAP satu parti yang tidak ada prinsip yang menggadaikan apa juga kepercayaan rakyat kepada mereka demi merampas kuasa, itu sahaja matlamat dan agenda DAP,” katanya kepada pemberita pada sidang media.
Terdahulu beliau hadir di Wisma MCA bersama-sama lebih 1000 ahli parti itu dalam sambutan ulang tahun MCA ke-69.
Berbeza dengan MCA, jelas Tiong Lai parti itu bertanggungjawab bukan sahaja menarik pengundi Cina, malah memastikan keharmonian rakyat pelbagai kaum dalam negara.
Tambahnya, MCA juga sentiasa bekerjasama dengan rakan komponen BN demi pembangunan negara.
“MCA berjaya mentransformasikan parti ini menjadi teguh bersama bukan sahaja dalam parti malah bersama masyarakat pengundi Cina.
“Saya tegaskan MCA peranannya cukup penting bukan sahaja mewakili kaum Cina malah memastikan kestabilan dan keharmonian rakyat berbilang kaum dalam negara ini mencapai satu tahap yang gilang gemilang.
“Di mana kita contoh komitmen MCA bersama MIC dan UMNO memastikan negara maju dan mantap,” ujarnya. -MalaysiaGazette
















