KUALA LUMPUR – Pemuda MCA mahu Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz memohon maaf secara terbuka kerana kelantangannya kepada parti itu.

Setiausaha Agung Pemuda parti tersebut, Datuk Leong Kim Soon berkata, Mohamed Nazri bukan hanya perlu meminta maaf kepada MCA malah seluruh masyarakat Cina berikutan kenyataan pedasnya mengkritik parti komponen Barisan Nasional (BN) itu.

“Kami  mahu Nazri minta maaf kepada seluruh akar umbi MCA.

“Hari ini kami datang sambut ulang tahun ke-69 MCA, tak rancang untuk adakan demonstrasi ini, tapi memandangkan kenyataan pedas Nazri, kami berhimpun untuk desak beliau minta maaf kepada kaum Cina dan MCA,” katanya kepada pemberita sewaktu demonstrasi diadakan di Wisma MCA hari ini.

Demonstrasi itu diadakan selepas majlis sambutan ulang tahun MCA ke-69.

Dalam pada itu, Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai ketika diminta mengulas perkara tersebut berkata, Pemuda MCA berhak untuk menyuarakan hak mereka.

Untuk rekod, pertikaman lidah MCA dan Nazri berpunca daripada isu taikun Robert Kuok sehingga Menteri Pelancongan dan Kebudayaan itu mendakwa beliau diboikot di kawasan Parlimennya, Padang Rengas. – MalaysiaGazette