Datuk Huan Cheng Guan

KUALA LUMPUR – Sekumpulan ahli DAP di Perak mengambil keputusan untuk keluar parti hari ini sebagai tanda protes kerjasama dengan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ahli-ahli DAP di Kampar dan Tapah seramai 38 orang bertindak keluar parti tersebut dan menyatakan hilang kepercayaan terhadap pimpinan parti pembangkang itu.

Antara yang mengambil tindakan keluar parti itu adalah Pengerusi Perhubungan DAP Tapah, Leong Soon Fatt yang mendakwa mereka sukar mendapat kerjasama dengan Dr Mahathir yang juga Pengerusi Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Jelasnya, pihaknya tidak boleh menerima kerjasama itu apatah lagi untuk dipimpin bekas Perdana Menteri berkenaan yang dilantik sebagai Pengerusi Pakatan Harapan (PH).

“Selama 10 tahun saya mengabdikan diri kepada DAP, namun hari ini selepas pertimbangan wajar, serius dan penuh kesal, saya hilang keyakinan terhadap kepimpinan sedia ada dalam menangani isu dalaman serta luaran parti.

“Kami juga tidak boleh menerima pendirian diambil dalam penjajaran politik baharu yang dilakukan DAP kebelakangan ini,” beliau dipetik berkata.

Katanya, tindakan keluar parti itu berkuat kuasa serta-merta hari ini kerana kecewa dengan kepimpinan parti yang sudah menyimpang daripada matlamat asal sejak dia menyertai DAP 10 tahun lalu.

Katanya, beliau tidak boleh menerima apabila DAP yang selama ini melihat Dr Mahathir sebagai musuh, namun kini memilih untuk bekerjasama.

Pengumuman keputusan itu dibuat semasa sidang akhbar di sini hari ini selepas pembukaan pejabat Parti Cinta Malaysia (PCM) Bahagian Kampar.

Sementara itu, Timbalan Presiden PCM, Datuk Huan Cheng Guan berkata, jika bekas Pengerusi DAP, Karpal Singh masih hidup beliau mungkin tidak menjalin kerjasama dengan Dr Mahathir seperti pemimpin DAP lakukan ketika ini.

“Saya rasa jika Karpal Singh masih ada, beliau pasti menjadi antara individu yang tak bersetuju dengan kemasukan Dr Mahathir dalam barisan pembangkang kerana beliau orang yang berprinsip,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. tak setuju dengan mahadir kena setuju dengan umno lah .kecuali tindakan orang bodoh tinggal perjuangan hidup menyepi kerana kecewa . negara tetap dibolot perompak

Comments are closed.