Home Nasional Felda dapat balik tanah Jalan Semarak minggu depan

Felda dapat balik tanah Jalan Semarak minggu depan

Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Samad

KLUANG – Felda akan mendapat semula tanah di Jalan Semarak yang dipindah milik oleh Synergy Promenade Sdn Bhd (SPSB) pada minggu depan.

Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, tanah itu akan didaftar di bawah nama Felda dan sebaik sahaja urusan berkenaan selesai, tanah itu milik Felda sepenuhnya.

“Semua geran tanah ada dengan kita dan ia akan milik Felda semula,” katanya ketika ditemui selepas perasmian Karnival Orang FELDA Sembrong Kita di padang FELDA Ulu Penggeli di sini.

Majlis itu turut dihadiri Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein merangkap Ahli Parlimen Sembrong.

Shahrir berkata, beliau akan menunjukkan dokumen pemilikan Felda pada satu sidang media yang akan diadakan di Kuala Lumpur.

“Kita mahu buktikan Felda menjadi pemilik tanah tersebut, sekaligus membuktikan komitmen kita untuk melakukan apa sahaja bagi mendapatkan tanah berkenaan semula,” tambahnya.

Shahrir berkata, siasatan polis dan siasatan dalaman oleh Felda masih berjalan kerana ada elemen yang meragukan dalam pemindahan pemilikan yang dilakukan pada tahun 2015.

“Kita menyelesaikan isu tanah ini dahulu dan selepas itu, kita akan berbincang dengan pemaju di projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC),” katanya.

Felda berisiko kehilangan hak milik tanah bernilai kira-kira RM200 juta di Jalan Semarak berikutan perjanjian yang didakwa diragui pada tahun 2015.

Pindah milik tanah itu dipercayai berlaku apabila anak syarikat Felda, Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) melantik sebuah syarikat tempatan sebagai pemaju utama pada 3 Jun 2014 dan diberikan surat kuasa wakil penuh bagi membangunkan tanah itu.

Projek itu dibangunkan oleh SPSB.

Shahrir dilaporkan mengakui berlaku transaksi 4 bidang tanah itu yang dianggarkan bernilai RM270 juta, tetapi Felda tidak mendapat sesen pun kerana tiada rekod wang dimasukkan atau dibayar dalam transaksi itu.

Pada bulan Januari, polis mencatatkan kenyataan daripada Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, yang merupakan pengerusi Felda dari Januari 2011 hingga Januari 2017. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast