KUALA LUMPUR – Pas menyifatkan cadangan Pakatan Harapan (PH) Sarawak mendesak kerajaan negeri supaya meminda akta menyediakan satu garis panduan atau prosedur operasi standard (SOP) bagi kes-kes murtad sebagai tidak masuk akal.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasrudin Hassan berkata, syor yang dikemukakan PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (PAN) itu seolah-olah menggalakkan lebih ramai pihak keluar daripada Islam.
“Pas menyatakan bantahan tegas terhadap cadangan yang dikemukakan oleh Pakatan Harapan (PH) Sarawak yang telah mendesak Kerajaan Negeri Sarawak meminda akta menyediakan suatu garis panduan atau SOP bagi kes-kes murtad.
“Sepertimana yang saya pernah tegaskan beberapa hari lalu bahawa kes-kes murtad bukan isu kecil dan boleh dipermainkan.Apakah tiada lagi prinsip Islam dalam politik kalian?,” katanya dalam satu kenyataan.
Cadangan tiga parti komponen gabungan itu susulan daripada keputusan yang dibuat Mahkamah Persekutuan di Kuching baru-baru ini apabila mengarahkan kes permohonan murtad empat individu di negeri itu dibicarakan di Mahkamah Syariah.
Mengulas lanjut, Nasrudin berkata, sebarang pandangan dan rujukan mestilah melalui golongan agamawan dan mufti bagi memastikan autentikasi pendirian yang dikemukakan terhadap pendapat yang ada dalam Islam.
Malah beliau berkata, negara sudah mempunyai Mahkamah Syariah yang lebih kuat jurisdiksinya untuk mengadili kes-kes berkaitan umat Islam.
“Malah, PAS membawa usul RUU355 supaya fungsi dan kuasa Mahkamah Syariah diangkat dan dimartabatkan lebih tinggi lagi supaya dapat mengadili umat Islam.
“Penegasan yang tidak berbelah bahagi, PAS bantah cadangan berkenaan, justeru, ia bukanlah jalan keluar yang diharapkan oleh umat Islam terhadap kes-kes murtad yang berlaku,” katanya lagi. – MalaysiaGazette