Home Nasional 10% warga emas menjelang tahun 2020

10% warga emas menjelang tahun 2020

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Golongan warga emas yang ditakrifkan berumur 60 tahun ke atas akan terus meningkat di Malaysia dan dijangka mencapai 10 peratus atau 3.4 juta menjelang 2020.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkata, pada masa itu, Malaysia akan memasuki kategori negara menua mengikut jangkaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Pada 2020, tujuh peratus penduduk Malaysia akan berumur 65 tahun dan ke atas, tambah KKM.

“Menyedari fenomena ini, kerajaan telah menggubal Dasar Warga Tua Negara pada 1995 dan Pelan Tindakan Dasar Warga Tua Negara 1999. Dan pada 1997, KKM juga telah menyediakan Pelan Tindakan Perkhidmatan Kesihatan Warga Tua Negara.

“Dasar ini penting untuk memastikan penuaan yang sihat, aktif dan produktif dengan memperkasakan warga emas, keluarga dan komuniti dengan pengetahuan yang terkini, kemahiran dan persekitaran yang sewajarnya, serta penyediaan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang optima di semua peringkat dan oleh pelbagai sektor,” kata kementerian dalam satu kenyataan semalam di majlis Perasmian Bangunan Kelab Warga Emas di Klinik Kesihatan Tanjung Malim, Perak.

KKM berkata, penuaan penduduk adalah satu fenomena universal yang dialami oleh semua negara di dunia dalam kadar yang berbeza.

Ia menerangkan antara prinsip-prinsip untuk pemberian perkhidmatan kepada warga emas di Malaysia adalah berdasarkan kepada prinsip yang diamal Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan dari segi fizikal, mental dan sosial dan tidaklah hanya tanpa ketiadaan penyakit atau ketidakupayaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast