KUALA LUMPUR – Naib Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Datuk Husam Musa yang baru-baru ini menegaskan haram mengundi Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) menerima respon sinis daripada pemimpin parti itu.

Ketua Pemuda Pas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz menerusi laman Facebook miliknya berkata, Husam seorang ahli politik yang mendakwa pahala pengundi bergantung ke mana sahaja dia berada.

“Berpuluh tahun dia berjuang dalam Pas dan berpuluh tahun itu jugalah dia penuh yakin dengan ganjaran pahala berjuang bersama Pas. Bila dia keluar Pas, dia kata berdosa pangkah Pas.

“Dia ingat pahala ni ikut dia mana saja dia pergi. Kesian la kat orang lain etek..,” katanya.

Walaupun tidak merujuk sebarang nama secara khusus, namun ia jelas ditujukan kepada bekas Naib Presiden Pas yang membuat kenyataan berani itu ketika berceramah pada 3 Mac lalu.

“Mengundi ini melibatkan hukum, Pas kata haram kalau tak undi bulan.

“Kita kata tidak, sebaliknya haram undi bulan. Ini ambo (saya) nak pegang. Nak tahu yang mana betul, kita berdebatlah,” kata HUsam ketika berceramah di Kuala Krai baru-baru ini. – MalaysiaGazette