Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak (dua kanan) mendengar penerangan semasa melawat pameran pada Majlis Perasmian Ekspo FINTECH Malaysia 2018 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 05 MAC 2018.

KUALA LUMPUR – Menteri Multimedia dan Komunikasi, Datuk Seri Salleh Said Keruak berpendapat Penasihat Sosiobudaya Kerajaan, Tan Sri Rais Yatim tidak membaca keseluruhan kenyataannya berhubung isu kapal persiaran mewah Equanimity bukan milik Jho Low.

Beliau menjelaskan, apa yang diperkatakannya berdasarkan penelitian fakta dalam saman sivil Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) terhadap 1MDB.

Justeru, beliau tetap mempertahankan kenyataannya bahawa masih tiada bukti yang menunjukkan kapal persiaran mewah Equanimity milik usahawan itu.

“Saya bukan jurucakap Jho Low dan hanya menyatakan apa yang menjadi fakta kes serta melihat dokumen yang ada dalam saman tersebut.

“Tetapi mereka ini membuat rumusan seolah-olah saya telah menentukan siapa pemiliknya. Dalam fakta sama DOJ, hanya tuduhan sahaja dan tidak ada bukti 1MDB terlibat membiayai kapal tersebut.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak bercakap kepada media pada Majlis Perasmian Ekspo FINTECH Malaysia 2018 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 05 MAC 2018

“Saya hairan kerana mereka tidak membaca keseluruhan kenyataan saya namun terpengaruh dengan berita viral dalam media sosial dan tidak mencerminkan apa saya tulis di blog saya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pihak media selepas merasmian Fintech Expo 2018 di sini hari ini.

Semalam, Rais menegur Salleh Said Keruak di laman Twitter miliknya yang berbunyi:

“Menteri komunikasi cepat sangat menidakkan kapal mewah Equanimity bukan milik Jho Low. Seeloknya tunggu dulu.

“Jho Low dah menuduh Amerika (Syarikat) dan Indonesia keterlaluan.

“Jelas sudah, Jho Low berkepentingan,” tulisnya.

Salleh sebelum ini berkata laporan rampasan kapal itu yang mengaitkannya dengan Low adalah ‘berita palsu’. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast