KUALA LUMPUR – Kerajaan Persekutuan meraih pendapatan tambahan hasil petroleum sehingga RM300 juta setahun bagi kenaikan harga minyak mentah dunia sebanyak AS$1 setong.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, jumlah itu tidak mengambil kira dividen yang disumbangkan daripada Petronas.
“Semasa pengumuman Bajet 2018 pada 27 Oktober 2017, hasil berkaitan petroleum dianggar RM37.8 bilion termasuk cukai pendapatan petroleum dan royalti dividen masing-masing dengan andaian harga minyak mentah dunia pada AS$52 setong.
“Bagi tempoh 1 Januari hingga 23 Februari 2018, purata harga minyak dunia adalah pada AS$67.15 setong,” katanya yang juga Menteri Kewangan dalam jawapan bertulis sidang Dewan Rakyat di Parlimen, di sini, hari ini.
Beliau menjawap soalan lisan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang meminta beliau menyatakan jumlah penambahan hasil daripada produk petroleum berikutan dengan penambahan hasil minyak sejak Bajet 2018 sehingga terkini.
Wan Azizah juga meminta Najib menyatakan penambahan hasil pendapatan
produk petroleum itu mengikut pecahan sumber lapangan minyak negeri-negeri.
Menteri Kewangan itu berkata, impak kenaikan purata harga minyak mentah dunia berbanding AS$52 setong yang digunakan semasa Bajet 2018 hanya akan dapat dikenal pasti setelah genap tempoh satu tahun.
“Ini bermakna perbezaan AS$67.15 setong berbanding AS$52 setong bagi tempoh kurang dua bulan ini (Januari hingga Februari 2018) tidak menggambarkan impak sebenar memandangkan harga minyak mentah dunia bersifat volatil,” katanya. – MalaysiaGazette.