Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Seri Noh Omar melihat salah sebuah lif yang telah siap dibaiki ketika membuat lawatan kerja baik pulih rumah serta menyampaikan surat tawaran menduduki dan kiosk solar di PPR Lembah Subang, Subang. foto SAFWAN MANSOR, 28 FEBRUARI 2018.

KUALA LUMPUR – Masalah Program Perumahan Rakyat (PPR) terbiar tanpa penyelenggaraan atau pengurusan sempurna bakal diatasi apabila Kerajaan Persekutuan memuktamadkan kajian dasar perumahan itu supaya penghuninya diberi hak milik.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar berkata, hak milik unit PPR itu hanya diberikan kepada penyewa unit yang pada masa ini membayar sewa sebanyak RM124 sebulan.

“Hasil daripada lawatan turun padang ke beberapa PPR, saya melihat PPR terbiar kerana tiadanya perasaan memiliki terhadap rumah yang diduduki dengan mengganggapnya sebagai rumah sewa semata-mata.

“Untuk tujuan itu, kementerian sedang mengkaji dasar perumahan PPR bagi membolehkan penyewa sedia ada memiliki rumah PPR berkenaan,” katanya pada sesi pertanyaan lisan sidang Dewan Rakyat di Parlimen, di sini, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan lisan Ahli Parlimen  Sekijang, Anuar Abd Manap yang meminta Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan menyatakan perancangan kerajaan untuk memberi status pemilikan kekal melalui jualan PPR kepada penyewa yang telah lama tinggal di sesebuah kediaman itu di seluruh negara.

Noh selaku Ahli Parlimen Tanjung Karang berkata, walaupun kos pembinaan rumah PPR disediakan kerajaan pusat, namun bakal pemilik unit kediaman itu perlu berbincang dengan Kerajaan Negeri dalam soal pemilikan tanah.

“Kos pembinaan rumah PPR disediakan oleh kerajaan pusat tetapi hak milik tanah kepunyaan kerajaan negeri.

“Kos projek PPR hak milik kerajaan pusat, kita akan memberi hak pemilikan kepada penyewa sedia ada.

“Untuk perkara melibatkan hak milik tanah kepunyaan kerajaan negeri pula, perkara itu akan dibincangkan bersama dengan kerajaan negeri,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast