CHENNAI – Tidak kurang daripada tempoh 48 jam, trailer filem terbaru pelakon nombor satu India, Rajinikanth, Kaala telah ditonton lebih 17 juta kali.

Ini sekaligus membuktikan pelakon India Selatan itu memiliki populariti luar biasa daripada para peminatnya di dalam dan luar India.

Rajinikanth yang merupakan satu-satunya superstar di India dan masih dianggap pelakon paling hebat walaupun sudah berumur dijangka akan melancarkan filem terbaharunya itu pada April ini.

Kaala diterbitkan Wunderbar Films milik menantunya, Dhanush dan diarahkan Ranjith yang sebelum ini pernah bekerjasama dengan Rajinikanth mengarahkan Kabali.

Rajinikanth yang ternyata kagum dengan hasil kerja Ranjith dengan segera menyatakan persetujuan untuk berlakon dalam filem kedua pengarah muda itu selepas Kabali.

Selain Rajinikanth yang memegang watak sebagai Karikaalan filem itu juga menampilkan pelakon terkenal Hindi, Nana Patekar sebagai watak antagonis.

Kaala bakal membuka tayangannya di India 27 April depan.

Walaupun pada asalnya, desas desus mengatakan Rajinikanth bakal berkecimpung dalam arena politik dan meninggalkan karier lakonan namun kehadiran filem ini membuktikan disebaliknya.

Rata-rata peminatnya sentiasa menantikan kehadiran beliau di layar perak dan berjuta-juta orang teruja untuk melihat gaya lakonan beliau yang bukan sahaja bersahaja malah mempunyai stail tersendiri.

Sebelum ini, filem Kabali yang hampir 80 peratus menjalani penggambaran di Malaysia termasuk di lakonkan oleh beberapa pelakon terkenal tanah air termasuk Datuk Rosyam Noor berjaya mengutip kutipan box office dalam masa beberapa hari sahaja.- MalaysiaGazette