DOUMA –  Sebuah konvoi antarabangsa terpaksa bertindak memendekkan misi di Ghouta Timur yang kini dikuasai pemberontak Syria berikutan serangan bertalu-talu rejim sehingga membunuh puluhan orang termasuk orang awam.

Reuters melaporkan, bantuan kecemasan berupa makanan serta perubatan oleh Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) di bandar utama Douma ketika serangan pengeboman dan ledakan senjata berlaku.

Pemerintah Syria juga didakwa bertindak menyekat sebarang bekalan perubatan daripada sampai kepada penduduk di kawasan itu.

Sebanyak 46 trak bantuan PBB tiba sedang serangan udara baru melanda kawasan pemberontak dan kini menguasai 40 peratus daripada rantau itu.

Seorang wartawan AFP di Douma berkata, pesawat tempur dan ledakan dapat didengar sedang bantuan kemanusiaan dipunggah.

Suruhanjaya Tinggi bagi Pelarian PBB (UNHCR) pula berkata, konvoi itu berada di Douma hampir sembilan jam sebelum terpaksa memendekkan misi mereka.

“Serangan bertalu-talu telah menyebabkan pihak kami memendekan misi itu dan berangkat pulang. Bagaimanapun, kami telah berjaya menyampaikan seberapa banyak bantuan yang boleh di salurkan di tengah-tengah serangan,” kata UNHCR dalam kenyataan.

Menurut badan pemantau perang Syria, sekurang-kurangnya 68 orang awam terbunuh.

Puluhan trak bantuan PBB sampai di bandar utama Douma sejak kelmarin, ia merupakan konvoi bantuan cemas pertama yang tiba sejak serangan maut yang disokong Russia bermula lebih dua minggu lalu.- MalaysiaGazette